SETELAH menjadi juri program realiti nyanyian The Voice selama 13 musim berturut-turut, timbul desas-desus mengatakan Adam Levine dan Blake Shelton akan meninggalkan rancangan itu. Menurut laporan Hollywood Life, spekulasi itu mula bertebaran menjelangnya musim terbaharu program itu yang dijangka akan bermula pada 2018. Namun, satu sumber mendedahkan, Adam dan Blake masih lagi mahu meneruskan tugas mereka dalam musim ke 14 itu. "Mereka kadang-kala rasa penat kerana terpaksa melakukan rakaman sesi uji bakat hampir sepanjang hari. "Tapi mereka suka rancangan itu, jadi tidak timbul isu dua penyanyi itu mahu berhenti menjadi juri," ujar sumber itu. Tambah sumber itu lagi, selain bayaran yang tinggi, mereka juga mendapat populariti meluas dari rancangan itu. Selain Adam dan Blake, antara selebriti yang pernah menyandang jawatan sebagai juri The Voice ialah Christina Aguilera, Shakira, Usher, Alicia Keys dan Miley Cyrus.