BEKAS ketua kumpulan 2NE1, CL, mendedahkan dia sering menangis apabila mengenangkan kembali mengenai perpecahan kumpulannya. CL atau nama sebenarnya Lee Chae-rin berkata, dia banyak menangis terutamanya selepas kembali ke Los Angeles, lapor portal hiburan Allkpop. Ujar CL lagi, dia sukar menerima perpecahan itu kerana menganggap mereka akan bersama sebagai ahli kumpulan buat selamanya. Selain CL, 2NE1 dianggotai Park Bom, Sandara Park dan Gong Minzy. CL yang popular dengan lagu solo berjudul The Baddest Female berkongsi kisah duka itu sewaktu rakaman program televisyen Livin' The Double Life, baru-baru ini. Sepanjang karier, 2NE1 banyak menghasilkan lagu hits seperti I'm The Best dan Come Back Home sehingga mempunyai peminat di seluruh dunia. Pada November tahun lalu, syarikat YG Entertainment mengumumkan pembubaran kumpulan itu.