ANGGOTA kumpulan Super Junior iaitu Leeteuk mendedahkan mendiang Jonghyun datang dalam mimpinya selepas sehari penyanyi itu meninggal dunia akibat membunuh diri. Leeteuk dalam satu kenyataan di laman sosialnya memberitahu menerusi mimpinya itu, Jonghyun tersenyum kepadanya selain meminta dia menikmati kehidupan dan sentiasa tersenyum. "Saya minta maaf kerana tidak berada di sisi kamu ketika kamu sedang cuba meminta tolong dan memerlukan saya. "Kerana ini ia membuatkan saya berasa lebih sedih dan kecewa. "Tetapi dia datang dalam mimpi saya dan meminta saya jalani kehidupan dengan baik dan senyumannya masih segar dalam ingatan saya," tulisnya seperti dilaporkan Koreaboo. Pada 18 Disember lalu, dunia kpop dikejutkan dengan berita kematian Jonghyun yang juga anggota kumpulan SHINee akibat membunuh diri. Menerusi nota terakhir yang ditulis, Jonghyun bercerita mengenai tekanan perasaan yang dihadapinya dan dia membunuh diri dengan menghidu asap karbon monoksida daripada arang yang dibakar dalam biliknya.