PENYANYI G-Dragon dan bekas anggota kumpulan After School iaitu Lee Joo Yeon sekali lagi dikaitkan sedang menjalinkan hubungan cinta. Soompi melaporkan pasangan itu dikatakan dilihat bercuti bersama-sama di Pulau Jeju dan menghabiskan masa selama empat hari di sana. Ini bukan kali pertama kedua-dua selebriti terkenal itu dikaitkan mempunyai hubungan cinta apabila mereka dilaporkan pergi ke Hawaii pada November lalu. Bagaimanapun, syarikat pengurusan masing-masing ketika itu menafikan mereka bercinta sebaliknya hanya berkawan baik dan percutian ke Hawaii turut disertai oleh rakan-rakan mereka. YG Entertainment dan Better Ent ketika diminta mengulas mengenai perkhabaran terbaharu ini memberitahu ingin bertanya dengan artis mereka terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Sementara itu, G-Dragon dilaporkan bakal menyertai latihan ketenteraan pada Februari ini selama dua tahun.