PENYANYI Christina Aguilera mengejutkan peminatnya apabila muncul tanpa sebarang solekan menerusi muka depan majalah Paper edisi April 2018. Christina dalam temubual bersama majalah itu memberitahu dia sudah lama ingin melakukan sesi penggambaran tanpa sebarang solekan dan tema 'Transformasi 2018' yang diketengahkan oleh Paper hadir tepat pada masanya. "Saya suka bereksperimen dalam karier menerusi muzik, karakter dalam muzik video termasuk ketika mengadakan persembahan pentas. "Saya seorang penghibur namun dapat mendedahkan sisi sebenar diri saya adalah seperti penghargaan kepada diri sendiri," katanya. Rata-rata memuji keberanian Christina dan menyatakan dia kelihatan lebih cantik tanpa sebarang solekan tebal. Pun begitu, Christina berkata, itu bukan bererti dia akan berhenti daripada menggunakan solekan kerana ia adalah sebahagian daripada dirinya.