PELAKON baharu Lee Seung Wook mengambil keputusan untuk bersara awal daripada dunia hiburan. Menerusi laporan Allkpop, Seung Wook belum bersedia untuk berkongsi sebab sebenar keputusan itu dan berharap peminat tidak mempercayai khabar angin mengenai perkara tersebut. "Apa pun spekulasi yang timbul, jangan risau. Itu sahaja yang boleh saya katakan buat masa ini. "Saya sudah pertimbangkan perkara ini semasak-masaknya. Saya yakin dengan keputusan ini dan pasti semuanya akan baik-baik sahaja," katanya. Seung Wook baru sahaja muncul dengan filem sulung berjudul Gonjiam: Haunted Asylum yang mendapat reaksi luar biasa penonton. Dalam pada itu, agensinya tampil dengan kenyataan rasmi namun masih tidak menjelaskan alasan mengapa Seung Wook nekad untuk bersara awal. "Selepas membintangi filem Gonjiam, Lee Seung Wook mahu menamatkan karier lakonan. "Dia mahu teruskan hidup sebagai orang biasa atas alasan yang sangat peribadi," kata wakil agensi. Seung Wook tidak menyertai sebarang aktiviti promosi filem itu selepas mengumumkan pengundurannya. Bagaimanapun, dia masih aktif berkomunikasi dengan peminat menerusi media sosial dan meminta mereka memahami keadaannya.