PENYEBARAN gambar penyanyi G-Dragon yang sedang menjalani latihan ketenteraan baru-baru ini telah mencetuskan kekecohan dalam dunia fesyen. Mana tidaknya, peminat tertarik dengan selipar 'jamban' berwarna hijau yang dipakai anggota kumpulan Big Bang itu sehinggakan ia tiba-tiba menjadi popular dan penjualannya laris. Selipar itu seperti dilaporkan Koreaboo turut dijual dalam talian selepas ia mendapat permintaan tinggi daripada peminat di negara lain. Gambar G-Dragon yang memakai selipar 'jamban' menjadi ikutan peminat. Ia bukan satu rahsia G-Dragon diangkat sebagai ikon fesyen di Korea Selatan dan apa sahaja yang digayakannya akan menjadi ikutan dan trend di negara itu. Sebelum ini, beberapa gaya diperkenalkan penyanyi itu termasuk memakai kasut dengan bahagian belakang dilipat ke dalam menjadi ikutan peminat. Malah penggunaan klip kertas pada topi atau baju yang boleh dikatakan pelik turut menjadi ikutan dan popular dalam kalangan penggemar fesyen.