SELEPAS sekian lama berdiam diri, pelakon Ryu Hwayoung mengakui dia adalah teman wanita kepada penghibur LJ yang dikaitkan dengannya sebelum ini. Soompi melaporkan perkara itu terbongkar selepas LJ memuat naik beberapa foto mesranya bersama bekas anggota kumpulan T-ara itu di Instagram. Bagaimanapun Hwayoung membuat kejutan dalam satu temuramah eksklusif mendedahkan dia cuba melarikan diri daripada LJ sepanjang dua bulan lalu kerana tidak lagi tahan menjadi mangsa dera kekasihnya itu. "Kami berkenalan sejak setahun lalu... Dia seorang yang baik dan saya pernah bertanya kepadanya jika dia mempunyai perasaan cinta kepada saya tetapi dia jawab tidak. "Bagaimanapun dua bulan lalu dia mengakui menyintai saya dan saya terimanya sebagai kekasih saya. "Akan tetapi tidak lama kemudian dia mula menunjukkan sikapnya yang panas baran dan saya buat keputusan untuk tidak meneruskan hubungan kami," katanya. Tambah Hwayoung lagi, dia cuba berbaik dengan LJ namun setiap kali dia membangkitkan isu mengenai hubungan mereka lelaki itu mengugut untuk membunuh diri selain mengugut akan menelefon wartawan dan mendedahkan tentang percintaan mereka. "Malah dia memecah masuk ke rumah saya tanpa kebenaran selain dia merampas telefon saya sehingga memaksa saya untuk menjerit meminta bantuan," katanya.