DUA minggu menjalani rawatan pemulihan ketagihan alkohol, pelakon Ben Affleck sudah mula menunjukkan tanda-tanda positif. Menurut laporan Metro, aktor Batman ini dilihat lebih aktif menyertai program amal di sekitar kawasan kediamannya di Los Angeles. Pelakon berusia 46 tahun ini nampak lebih tenang dan menegur masyarakat sekeliling ketika berjalan menuju ke gereja. Sumber memberitahu, ini kali pertama Ben keluar bertemu masyarakat setelah hubungan cintanya dengan model Playboy, Shauna Sexton dikhabarkan putus pada 9 Oktober lalu. Dia dikatakan memutuskan hubungan dengan model berusia 22 tahun itu kerana mahu fokus sepenuhnya dalam proses pemulihan tersebut. "Ben biasa-biasa sahaja dan keadaannya tidak serius. "Dia memang benar-benar mahu berubah dan mencari ketenangan dan nampaknya orang sekeliling menyukai perubahan itu," kata sumber.