suria

Anak ganti Ahmad Dhani pada konsert Dewa 19 di Kuala Lumpur

Dul Jaelani mengesahkan bakal menggantikan tempat bapanya menerusi konsert Dewa 19 di Kuala Lumpur pada 2 Febuari ini.

ANAK kepada penyanyi terkenal Indonesia, Ahmad Dhani iaitu Dul Jaelani mengesahkan bakal mengganti tempat bapanya menerusi konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.

Dul atau Abdul Qodir Jaelani memaklumkan mengenai perkara itu menerusi Instagram miliknya dan remaja berusia 19 tahun itu turut berharap konsert berkenaan akan berjalan lancar.

Anak bongsu kepada Ahmad Dhani itu turut memuat naik gambarnya sedang berlatih bermain keyboard sebagai persediaan saat-saat akhir menjelang konsert yang akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam.

Dul Jaelani memaklumkan mengenai perkara itu di Instagram.

"Nuwun sewu (minta izin) ya Ayah, @ahmaddhaniofficial permisi... Dan terima kasih juga kepada Dewa 19 yang membernarkan saya untuk mengantikan tempat Ayah saya di Malaysia.

Mohon doakan saya ya, semoga semuanya berjalan lancar. Amin," tulisnya.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan terhadap penyanyi itu selepas dia didapati bersalah atas tuduhan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosialnya.

Pihak penganjur Nizra Production dalam kenyataan kepada media memberitahu konsert itu akan diteruskan dengan kehadiran dua vokalisnya, Ari Lasso dan Once Mekel.

Ahmad Dhani, Dul Jaelani, Dewa 19