PENYANYI dan pelakon terkenal Korea Selatan, Ong Seong Wu bakal hadir ke Kuala Lumpur untuk sesi bertemu dengan peminat menerusi jelajah 'Eternity' yang akan diadakan pada 23 Mac ini di Axiata Arena, Bukit Jalil. Kehadiran Seong Wu, 23, adalah yang pertama dalam acara bertemu peminat di negara ini selepas Singapura dan Bangkok, Thailand yang tiketnya habis terjual hanya dalam masa beberapa minit. Seong Wu yang juga merupakan bekas anggota Wanna One dijangka turut menghiburkan peminat pada sesi itu selain beramah mesra dengan peminat yang hadir pada acara bermula pukul 6 petang itu. Dia kali terakhir berada di Malaysia pada April tahun lalu ketika terlibat dalam penggambaran program realiti Law of the Jungle bersama Ha Soong Wun dan anggota kumpulan SHINHWA, Yoon Shi Yoo di Sabah. Tiket bagi menghadiri acara itu dijual pada harga di antara RM280 hingga RM580 dan ia boleh didapati menerusi laman web airasiaredtix.com bermula 16 Febuari.