SELEPAS mengikat tali pertunangan selama setahun, pasangan selebriti Lady Gaga dan tunangnya Christian Carino dikhabarkan sudah berakhir. Seperti dipetik majalah People, pasangan itu juga sudah membatalkan rancangan untuk berkahwin yang dijadualkan dalam masa terdekat. "Pertunangan itu tidak mampu bertahan. Hubungan kadang-kadang mudah untuk berakhir. Namun tiada cerita dramatik," ujar wakil penyanyi itu. Tambahnya, keputusan untuk berpisah itu baharu sahaja dibuat oleh pasangan tersebut. Khabar angin berkaitan hubungan mereka timbul selepas Lady Gaga muncul di majlis Grammy Awards 2019 minggu lalu tanpa memakai cincin pertunangannya. Penyanyi itu sebelum ini tidak pernah keluar tanpa memakai cincin berlian berwarna merah jambu itu sejak setahun lalu. Bagaimanapun, jurucakap penyanyi itu enggan menjelaskan masalah yang berlaku secara terperinci.