KUMPULAN Seventeen mendedahkan semenjak mereka muncul sebagai artis seramai 15 individu berhenti sebagai pengurus mereka kerana tidak tahan dengan bebanan kerja bagi menguruskan mereka. Allkpop melaporkan salah seorang anggotanya, Seung Kwan mendedahkan perkara itu berlaku disebabkan kumpulan itu mempunyai 13 orang ahli dan ia adalah tugas sukar. "Kami ada 13 ahli dan jumlah itu menjadikan ia beban kepada pengurus kami sehingga membuatkan mereka mengambil keputusan untuk berhenti. "Sehingga kini kami sudah bertukar 15 orang pengurus yang paling lama bertahan hanya selama enam bulan. "Ada pengurus yang sangat rapat dengan kami pun akhirnya tidak tahan dan berhenti tanpa memberi sebarang alasan namun kebiasaannya ia berkaitan dengan bebanan kerja yang terlalu berat," katanya ketika muncul dalam sebuah program baru-baru ini. Belajar daripada kesilapan itu, Seung Kwan berkata, mereka kini mempunyai tiga orang pengurus bagi melancarkan aktiviti kumpulan itu terutamanya apabila mereka sibuk dengan konsert dan promosi album. Dalam pada itu, pengurus terkini mereka yang turut hadir pada acara itu mendedahkan tugas sebagai seorang pengurus bukan mudah malah dia sendiri setiap hari terfikir untuk berhenti. "Antara tugas hakiki kami adalah perlu mengira semua ahli satu persatu, menguruskan lebih 40 bagasi setiap kali ke luar negara selain memastikan mereka makan makanan yang dibeli untuk mereka. "Kos makanan setiap hari untuk 13 ahli Seventeen adalah AS$1,000 (RM4,000) setiap hari," katanya. Sementara itu, Seung Kwan berharap pengurusnya itu akan kekal bersama mereka dan berjanji akan membeli sepasang kasut berjenama untuk setiap pengurusnya selepas aktiviti promosi kumpulan itu selesai tidak lama lagi.