PENYANYI Justin Bieber sebelum ini diketahui sedang mencari rumah selepas berkahwin dengan Hailey Baldwin. Seperti dipetik People, Justin sudah pun menemui rumah idaman yang mengikut cita rasa dia dan isterinya. Rumah mewah itu berharga USD$8.5 juta atau RM34.5 juta biarpun sudah mendapatkan diskaun daripada harga asal iaitu USD$8.9 juta. Kediaman yang terletak di Berverly Hills, California, berkeluasan 560 meter persegi itu dibina pada 1932 dan diubah suai menjadi lebih moden pada 2017. Ia turut memiliki lima bilik tidur dan tujuh bilik mandi. Rumah itu dilengkapi perabut kayu putih dan tingkap-tingkap yang besar. Ia juga dilengkapi dengan bar, pawagam mini dan kolam renang.