MASALAH kemurungan yang dihadapi selebriti jarang diketahui umum namun ada di antara mereka yang membuat pengakuan terbuka mengenai penyakit tersebut. Antaranya, pelakon Deepika Padukone yang berkongsi masalah kemurungan dan tekanan melampau yang dihadapinya. mStar menyenaraikan artis Bollywood yang pernah berhadapan dengan isu berkaitan tekanan melampau dan kemurungan. Deepika Padukone Pelakon terkenal ini pernah mendedahkan dirinya bertarung melawan masalah kemurungan yang dihadapi pada 2014. Malah, disebabkan masalah itu dia tekat untuk menumbuhkan sebuah pusat kesihatan mental untuk membantu orang ramai yang mengalami masalah serupa. Amitabh Bachchan Legenda Bollywood ini antara individu yang pernah menjadi mangsa tekanan perasan iaitu pada 1996 Amitabh pernah menanggung kerugian dan jatuh muflis apabila filem yang diterbitkan syarikat produksi ABCL tidak mendapat sambutan. Ketika itu, pelakon filem Kabhi Khushi Kabhie Gham itu terpaksa berhadapan dengan fasa getir dalam hidupnya hingga mengalami depresi. Bagaimanapun, Amitabh kembali bangkit dan membina nama sebagai pelakon yang hebat dan dikagumi ramai. Shah Rukh Khan Raja Bollywood ini pernah mengalami tekanan perasaan selepas dia menjalani pembedahan di bahu kanan akibat cedera ketika menjalani penggambaran filem Dulha Mil Gaya pada 2009. Namun pelakon terkenal itu berjaya keluar daripada masalah kemurungan yang dihadapinya. Sanjay Dutt Sanjay mendedahkan dia mengalami kemurungan dan sukar tidur malam selama empat tahun dia meringkuk dalam penjara. Tekanan yang dihadapi berpunca selepas ibu dan isterinya disahkan menghidap kanser dan dia dipenjarakan atas kesalahan memiliki senjata dibekalkan kumpulan penjenayah yang mendalangi siri letupan bom di bandar raya Mumbai pada 1993. Manisha Koirala Bukan hanya bertarung melawan penyakit kanser ovari, pelakon ini turut menderita tekanan melampau pada tahun lalu. Menerusi status Facebooknya, Manisha mengharapkan kehidupan baru supaya dia dapat menjalani hari-hari dengan tenang dan mengisi masa dengan perkara berfaedah. Hrithik Roshan Pelakon terkenal ini mendedahkan dia pernah mengalami masalah kemurungan dan tekanan. Disebabkan itu, dia mahu orang ramai sedar tekanan melampau tidak sepatutnya diambil mudah sebaliknya masyarakat perlu sama-sama membantu menanganinya. Ranveer Singh Pelakon filem Padmaavat ini turut berdepan masalah kemurungan. Dalam satu temu bual Ranveer pernah mendedahkan rakan baiknya pernah membunuh diri akibat tekanan perasaan hingga memberi impak kepada dirinya yang sudah lama menderita penyakit itu. Ranveer juga pernah mendapatkan rawatan hospital buat seketika bagi memastikan dirinya normal dan tidak melakukan perkara di luar jangkaan.