PENYANYI rap Cardi B mengejutkan ramai peminat apabila berkongsi gambar yang memaparkan kedua-dua belah kakinya mengalami bengkak yang agak teruk gara-gara pembedahan plastik yang dilakukannya awal bulan lalu. Menurut penyanyi berusia 26 tahun ini, dia akan berasa sakit dan bengkak pada kaki serta perut yang agak teruk setiap kali menaiki pesawat. "Tengok betapa bengkaknya kaki saya setiap kali menaiki pesawat. Perut saya apa tah lagi. "Sebab itu doktor menasihati saya untuk mendapatkan rehat secukupnya dan saya dilarang dari melakukan sebarang aktiviti lasak semasa persembahan. "Kaki dan perut saya akan semakin membengkak!" tulisnya sebagai kapsyen pada foto berkenaan. Cardi B menjalani pembedahan dan memerlukan lebih masa untuk pulih. Cardi memuat naik status berkenaan selepas terpaksa membatalkan beberapa persembahan konsert jelajah yang membuatkan ramai peminatnya berang. Terdahulu, Cardi B dilarang melakukan sebarang aktiviti senaman atau latihan tarian bagi mendapatkan rehat secukupnya selepas melakukan pembedahan pada bahagian dada. Menurut doktor yang merawat Cardi, persembahan yang memerlukan Cardi untuk beraksi dan bergerak terlalu aktif akan menyebabkan dia berdepan risiko pendarahan pada bahagian dalaman selain bengkak dan jangkitan kuman. Cardi juga dinasihatkan untuk tidak merokok selain dilarang mengambil sebarang minuman beralkohol sebagai prosedur selepas menjalani pembedahan berkenaan. -dailymail.uk