TINDAKAN ahli kumpulan F.T Island iaitu Minhwan melempar bola besbol sambil mengendong anak menyebabkan dia dikecam netizen. Menerusi foto dan video yang tersebar di laman sosial, Minhwan dilihat melakukan aksi berbahaya tersebut semasa pertandingan besbol antara pasukan Anhwa Eagles dan LG Twins yang berlangsung di Stadium Daejeon Hanbat, Korea pada Sabtu lalu. Gara-gara aksinya itu, netizen mula mengkritik tindakan tersebut dan meluahkan kebimbangan mengenai keselamatan anaknya Jaeyul. Kata mereka, bayi lelaki itu boleh mengalami kejutan di bahagian tengkuk dan leher kerana pergerakan pantas tersebut. Menyedari kesilapan itu, Minhwan membuat permohonan maaf di Instagram dan mengakui terlalu teruja sehingga terlupa mengenai soal keselamatan. "Saya minta maaf kerana buat semua orang risau mengenai bayi saya. Ini kali pertama saya dijemput melempar bola dan rasa bahagia melakukan bersama anak. "Saya sudah berlatih untuk melakukan dengan baik dan selamat tapi akhirnya boleh mengundang bahaya kepada anak. "Saya minta maaf dan sebagai ayah yang sayangkan anak lebih dari segalanya, saya akan memastikan anak saya membesar sihat dan selamat," tulisnya. SUMBER: ALLKPOP