suria

Atta Halilintar hidup susah, cari kerja di Malaysia sebelum bergelar jutawan Youtube

Atta Halilintar mengakui pernah susah sehingga mengutip makanan. Foto Instagram @attahalilintar

BINTANG Youtube yang memiliki langganan tertinggi di Asia Tenggara iaitu Atta Halilintar berkongsi bahawa dia menjalani kehidupan yang serba kekurangan sebelum bergelar personaliti media sosial.

Hal itu membuatkan dia terpaksa berniaga di terminal pengangkutan awam dan berhijrah ke Malaysia demi mencari rezeki.

Menurut laporan Tribunnews, dalam temubual program Okay Bos, Atta, 24, berkongsi kesulitan hidup yang pernah dilalui olehnya sebelum ini.

"Saya pernah berkongsi foto yang diambil 10 tahun lalu ketika saya sedang berniaga sim kad telefon di terminal-terminal.

"Dulu semasa keluarga saya dalam kesusahan dan ada masalah, saya ambil keputusan pindah ke Malaysia dan turut menjalankan perniagaan di negara orang," katanya.

Atta memiliki keluarga yang besar.

Bukan itu sahaja, Atta juga berkata dia pernah mengutip sisa makanan untuk diberikan kepada adik-beradiknya yang lain.

"Di kawasan rumah ada supermarket, jadi setiap malam mereka buang ayam bakar atau roti atau apa sahaja ke dalam plastik sebelum dibuang ke tong sampah. Jadi saya ada idea, sebelum makanan itu ke tong sampah, saya ambil supaya adik-adik saya boleh makan sedap.

"Ramai orang tak tahu cerita ini, orang hanya fikir Atta Halilintar lahir dari anak orang kaya, sudah senang sejak lahir.

"Padahal orang tak tahu disebalik kisah hidup yang membuatkan saya bersemangat begini. Orang selalu fikir saya tak pernah susah dan kejayaan saya hari ini diperolehi dengan cara mudah," katanya.

Untuk rekod, Atta Halilintar yang berasal dari Indonesia ini memiliki lebih 16 juta subsribers di laman Youtube.

SUMBER: Tribunnews

Atta Halilintar

Artikel Lain