suria

Ditegur ada selulit di perut, Camila Cabello serik kongsi kisah peribadi di laman sosial

Pernah menjadi mangsa 'body shaming' membuatkan Camila Cabello serik berkongsi kisah peribadi di Instagram.

PERNAH menerima tempias body shaming gara-gara memuat naik sekeping foto memperlihatkan selulit pada bahagian perutnya dua tahun lalu menjadi antara punca penyanyi lagu Senorita, Camila Cabello serik dan enggan berkongsi kisah peribadinya di laman sosial.

Menurut Camila, kebebasan yang dimiliki orang ramai membuatkan aktiviti buli sukar dibendung sehingga platform untuk berkongsi perkara baik bertukar menjadi negatif dengan kata-kata berbaur makian.

"Buat semua yang dikasihi, saya jarang berkongsi mengenai hal peribadi di media sosial kerana ia tidak baik untuk saya.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk mengelak daripada dipengaruhi dengan kata-kata yang tidak baik. Biasanya saya tidak akan baca apa-apa komen yang anda tinggalkan.

"Bagaimanapun, saya sedar laman sosial ini sebenarnya sangat berguna untuk membantu sesiapa sahaja dalam apa jua cara," katanya.

Camila mendedahkan pernah menjadi mangsa body shaming membuatkan dirinya serik berkongsi kisah peribadi di Instagram.

Dalam pada itu, Camila turut meninggalkan mesej buat peminatnya untuk tidak terlalu obses menggunakan laman sosial sehingga mengabaikan kesihatan dan memberi tekanan kepada mental.

"Saya tidak begitu percaya dengan meditasi sebelum ini tetapi saya sudah cuba dan mengamalkannya selama beberapa bulan, ia sangat membantu!

"Saya pernah terlalu memikirkan sesuatu perkara hingga ia mengganggu perasaan dan fokus saya.

"Tapi kini saya dapat rasakan kehidupan semakin baik. Harap ianya dapat membantu anda juga!" katanya. - Cosmopolitan.com

Camila Cabello, tertekan

Artikel Lain