SEJAMBAK bunga yang diterima pelakon Luna Maya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-36 pada Isnin lalu menarik perhatian netizen. Menerusi Instastory Luna Maya memuat naik foto sejambak bunga berserta kad ucapan hari lahir yang hanya ditulis huruf R. Rata-rata peminatnya teruja melihat dan ingin mengetahui siapa lelaki misteri yang menghantar hadiah bunga tersebut. Ada juga segelintir mereka yang membuat spekulasi lelaki yang hanya dikenali R itu adalah bekas kekasihnya yang juga suami kepada penyanyi Syahrini, Reino Barack. Luna terima sejambang bunga berserta kad yang hanya tertulis huruf R. Sebelum ini, Luna mengakui dia tidak menerima sebarang ucapan hari lahir daripada Reino namun tetap mendoakan kebahagian bekas kekasihnya. "Tak ada sebab kami pun tak ada apa-apa. Kita doakan dia supaya sentiasa bahagia," kata Luna menerusi laporan Liputan6. Luna dan Reino pernah menjalinkan hubungan selama lima tahun namun hubungan tersebut berakhir pada tahun lalu. Reino kemudian dikhabarkan mempunyai hubungan dengan Syahrini dan mendirikan rumah tangga pada 27 Februari lalu. Baru-baru ini, spekulasi dan khabar angin kononnya Syahrini kini berbadan dua semakin hebat diperkatakan peminatnya di laman sosial.