suria

“Tolong maafkan saya” - Kejadian kemalangan maut enam tahun lalu, anak Ahmad Dhani tidak lepas tangan

Dul Jaelani masih berhubung dengan keluarga mangsa kemalangan.

BIARPUN sudah enam tahun berlalu, keluarga penyanyi Ahmad Dhani tidak melepaskan tanggungjawab terhadap mangsa kejadian kemalangan yang membabitkan anaknya Dul Jaelani sehingga meragut lima nyawa.

Keluarga mangsa dijemput hadir ke majlis yang diadakan keluarga Ahmad Dhani ke kediamannya di Pondok Indah, Jakarta Selatan, Isnin lalu.

Dul yang kini berusia 19 tahun merupakan anak ketiga Ahmad Dhani bersama Maia Estianty mengambil kesempatan itu untuk memohon maaf buat sekian kalinya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga mangsa, kerana sudi meluangkan sedikit masa untuk datang ke sini dan juga terima kasih kepada ayah saya kerana berjaya menjalankan tanggungjawabnya," kata Dul.

Difahamkan insiden kemalangan tersebut berlaku selepas kereta yang dipandu Dul hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan jenis MPV dan sebuah bas di Tol Jagorawi Bogor.

Mengulas lanjut, Dul mengakui bahawa dia sentiasa berhubung dan mengikuti perkembangan keluarga mangsa.

Dul Jaelani (tiga dari kiri) memohon maaf kepada keluarga mangsa kemalangan di dalam satu sidang akhbar pada Isnin lalu.

Mengenangkan insiden kemalangan yang berlaku pada enam tahun lalu, Dul mengakui insiden tersebut sedikit sebanyak telah memberikan pengajaran yang sangat berharga kepada dirinya.

"Tolong maafkan saya kerana memang itu salah saya, saya akui cuai. Terima kasih dan tolong ampunkan saya," luah Dul beberapa kali selepas menyesal atas perbuatannya.

Terdahulu, kereta Mitsubishi Lancer yang dipandu anak Ahmad Dhani itu terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan lima orang maut dan 11 yang lain cedera pada September tahun 2013.

Dul juga berharap agar hubungan antara beliau dan keluarga mangsa tidak akan berakhir begitu sahaja. - KapanLagi.com


Dul Jaelani, kemalangan, mohon maaf

Artikel Lain