suria

Pengarah Ada Apa Dengan Cinta? Rudi Soedjarwo diserang strok, “Saya ditampar Tuhan”

Rudy Soedjarwo dalam proses rawatan selepas diserang strok. FOTO Bintang.com.

PENGARAH filem Ada Apa Dengan Cinta? Rudi Soedjarwo memberitahu dia kini dalam proses mendapatkan rawatan intensif selepas diserang strok pada November tahun lalu.

Mendedahkan perkara itu kepada umum, Rudi, 47, berkata, dia menghilangkan diri bagi mengubati masalah penyakitnya hampir setahun lalu.

"Selepas diserang strok saya sukar untuk bercakap secara normal. Mungkin emosi, darah dan tekanan naik. Saya akan bersenam sedikit untuk memulihkan keadaan itu," ujarnya seperti dipetik Liputan 6.


Rudi bersama pelakon-pelakon AADC. FOTO Bookmyshow

Rudi menganggap penyakit strok yang menimpa dirinya adalah sebagai peringatan daripada Allah.

"Saya ditampar Tuhan sekali. Sekarang pandangan saya terhadap orang lain sudah berbeza," ujarnya.

Dia mengakui banyak perkara yang mengubah dirinya terutamanya cara bergaul dengan masyarakat dan orang sekelilingnya.

Dia juga lebih rendah diri, bercakap dengan nada lembut dan menjaga hubungan dengan manusia lain.

Bukan itu sahaja, dia kini mengutamakan solat lima waktu dan mahu menjalani kehidupan yang lebih tenang.

"Saya belajar bersyukur untuk apa pun termasuk keadaan tubuh saya sekarang.

"Saya mahu hidup lebih baik, tidak menyakiti dan menyusahkan orang lain. Jika tidak suka sesuatu beritahu dengan cara yang baik," ujarnya.

Artikel Lain