PELAKON terkenal Indonesia Raline Shah kini menyambung pengajian dalam bidang lakonan di sebuah universiti di Amerika Syarikat sejak Januari lalu. Memetik laporan dari Liputan6, Raline sudah menyimpan hasrat untuk mengikuti pengajian di luar negara sejak dahulu lagi. Kata Raline, dia merancang untuk belajar di sana selama lebih kurang tiga tahun dan sepanjang itu akan berulang-alik ke Indonesia. Raline Shah seronok mengikuti kelas lakonan di Amerika Syarikat. "Sejak Januari lalu saya memang berulang-alik dari Indonesia ke Amerika sebab saya ambil kelas lakonan di Amerika. Sangat seronok dapat belajar macam-macam ilmu baru dalam bidang ini. "Perancangan saya untuk belajar di sana mungkin dalam dua atau tiga tahun. Dari dahulu lagi saya nak sangat sambung belajar," katanya. Sebelum ini, pelakon filem Polis Evo 2 ini pernah mengikuti kelas latihan teater di Yogyakarta, Indonesia.