suria

Gara-gara tidak sokong demonstrasi, Cinta Laura dikecam hanya pandai 'OOTD'

Cinta Laura dihentam netizen kerana kenyataan berhubung demonstrasi dimuat naiknya.

SELEBRITI terkenal Indonesia, Cinta Laura dikecam hebat netizen gara-gara mengeluarkan kenyataan menghentam demonstrasi besar-besaran sehingga meragut nyawa orang awam di ibu kota negara itu.

Cinta Laura menerusi laman Twitter miliknya berkata, dia berasa amat sedih melihat orang ramai yang turut terjejas akibat tindakan protes itu.

"Jangan demo please! Kasihan orang-orang yang mahu kerja dan mencari rezeki turut terganggu," tulisnya.

Tweet ringkas yang dimuat naiknya itu ternyata menimbulkan rasa tidak puas hati netizen yang menganggap aktres itu berpihak pada kerajaan republik negara itu.

Rata-rata mereka meninggalkan komen negatif selain turut menyindir Cinta Laura.

Antara kenyataan dimuat naik Cinta Laura di laman Twitter.

"Jangan complain please! Kasihan pada mereka yang mahu menuntut keadilan... bukan untuk diri sendiri tetapi untuk rakyat sampai terpaksa sesak nafas, luka dan ada juga yang ditahan. Berbeza dengan kamu yang memiliki keistimewaan!

"Mereka buat demo untuk memperjuangkan perlindungan masa depan dan cari rezeki juga.

"Kamu setakat selebriti, cantik, berpendidikan bagus, berdarah Inggeris yang hanya tahu post mengenai OOTD di Instagram tiba-tiba ada hati nak beritahu semua untuk berhenti demo. Please lah sis, awak kerja sahaja di Hollywood," tulis netizen.

Demontrasi yang berlangsung daripada 24 September lalu itu dilakukan golongan mahasiswa sebagai membantah cadangan pindaan Rang Undang-undang Kitab Hukum Pidana (RUU KUHP) atau pindaan undang-undang berkaitan jenayah di negara itu. - Liputan6.com

Cinta Laura, Twitter

Artikel Lain