suria

Jennifer Lopez disaman paparazi kerana muat naik foto bersama teman lelaki

J.Lo berdepan saman berjumlah RM630,000 kerana menggunakan gambar tanpa kebenaran.

SEORANG jurugambar paparazi memfailkan saman sebanyak RM630,000 ke atas Jennifer Lopez selepas penyanyi terkenal Hollywood itu memuat naik gambar dia bersama teman lelaki, Alex Rodriguez di akaun Instagram miliknya.

Jennifer Lopez atau lebih mesra disapa J.Lo didakwa menggunakan foto dirinya berpegangan tangan dengan Alex sewaktu berada di New York dan memuat naiknya di Instagram pada November 2017 tanpa memberikan sebarang kredit kepada paparazi berkenaan.

"Sesuatu gambar itu mempunyai nilai, serta keistimewaan yang berharga buat seseorang jurugambar itu.

"Lebih-lebih lagi apabila subjek yang digunakan berstatus selebriti dan gambar yang diambil tentunya bernilai dan boleh menjana keuntungan.

"Tetapi J.Lo menggunakan gambar itu tanpa kebenaran dan menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri sehingga sesiapa sahaja boleh mendapatkan gambar itu dengan mudah dan percuma," kata peguam yang mewakili paparazi berkenaan.

Sementara itu, J.Lo bertindak mengunci mulut dan enggan mengulas mengenai perkara itu.

Untuk rekod, J.Lo bukan selebriti pertama berdepan dengan kes saman kerana menggunakan gambar yang diambil oleh paparazi tanpa kebenaran, lapor Cosmopolitan.com.

Januari lalu, model Gigi Hadid turut disaman sebuah agensi selepas memuat naik gambarnya di laman media sosialnya yang mempunyai 44 juta pengikut.

Selain itu, Ariana Grande juga pernah berdepan perkara sama apabila seorang jurugambar paparazi memfailkan saman terhadapnya kerana memuat naik gambarnya ketika penyanyi genit itu berjalan keluar dari sebuah bangunan dengan membawa sebuah beg dengan tulisan Sweetener pada 17 Ogos tahun lepas bersama kapsyen happy sweetener day.

Jennifer Lopez, Paparazi

Artikel Lain