suria

Selamat malam Goo Hara... Agensi sediakan tempat khas untuk peminat beri penghormatan terakhir

Goo Hara meninggal dunia pada usia 28 tahun.

BEKAS anggota kumpulan KARA iaitu Goo Hara yang ditemui meninggal dunia pada Ahad menyampaikan mesej terakhir menerusi sebuah posting di laman sosial dengan ucapan selamat malam.

Memetik laporan Daily Mail, mayat pelakon dan penyanyi berusia 28 tahun ini ditemui sekitar 6 pagi waktu tempatan.

Sebelum kejadian, Goo Hara sempat melancarkan kempen antibuli siber pada pagi Ahad di kejiranan Cheongdam-Dong, Seoul, Korea Selatan.

Bagaimanapun, kematian mendiang bintang K-Pop itu masih dalam siasatan pihak polis. 

"Goodnight," tulisnya di Instagram. 

Rata-rata peminat meluahkan rasa terkejut dan sedih dengan berita kematian tersebut. 

"Saya tak percaya awak dah tak ada lagi kat sini, saya rindu awak dan semoga roh awak tenang bidadari. 

Hara sempat berikan ucapan terakhir 'selamat malam' kepada pengikutnya di laman sosial.

"Saya harap ini semua hanya mimpi," komen beberapa netizen. 

Dalam pada itu, agensi Goo Hara telah menyediakan tempat khas di mana para peminat boleh memberi penghormatan kepada mendiang penyanyi lagu On A Good Day ini menerusi laporan Soompi. 

Sementara itu, rakan-rakan dan keluarga akan memberi penghormatan di lokasi berasingan untuk upacara pengebumian peribadi Goo Hara. 

"Peminat dan sidang media diberi kesempatan untuk memberi penghormatan kepada Goo Hara di Dewan 1, Dewan Pemakaman St. Mary, Daerah Gangnam bermula pada pukul 3 petang mulai hari ini hingga ke tengah malam pada 27 November.  

"Untuk perjalanan si mati secara aman, diharapkan semua tidak melawat Yonsei Severance Hospital Funeral Hall di mana upacara pengebumian peribadi akan diadakan oleh keluarga dan rakan-rakan Goo Hara," katanya. 

Sebelum ini, Goo Hara pernah dilaporkan cuba untuk membunuh diri pada Mei lalu namun berjaya diselamatkan pihak polis. - Dailymail, Soompi

Goo Hara

Artikel Lain