PELAKON Hollywood Charlize Theron mengakui dia tidak segan untuk berkongsi mengenai detik hitam yang pernah melanda diri dan keluarganya sewaktu berusia 15 tahun. Menerusi sebuah temubual bersama NPR, Charlize mendedahkan ibunya pernah berdepan detik hitam apabila terpaksa membunuh bapa di hadapan matanya demi mempertahankan diri. Kata Charlize, bapanya yang merupakan seorang kaki mabuk pernah pulang ke rumah dengan sepucuk pistol di tangan membuatkan ibunya terpaksa bertindak bagi menyelamatkan diri. "Ya, ibu saya seorang pembunuh. Ketika itu ayah pulang dalam keadaan mabuk teruk malah dia tidak mampu berjalan dengan baik ketika masuk ke dalam rumah dengan memegang sepucuk pistol. "Saya dan ibu sembunyi di dalam sebuah bilik sambil badan kami menolak pintu bilik itu kerana dia cuba untuk masuk. "Kemudian dia melepaskan sebanyak tiga das tembakan mujur tidak satu pun yang terkena pada kami. Jadi ibu terpaksa bunuh dia bagi menyelamatkan nyawa kami," ujarnya. Chrlize mendedahkan ibunya itu terpaksa membunuh bapanya yang ketika itu berada dalam keadaan mabuk. Dalam pada itu, Charlize berkata, dia tidak segan untuk berkongsi perkara yang mengaib itu walaupun dirinya kini bergelar selebriti. Malahan, dia terbuka untuk bercerita sebagai pengajaran buat sesiapa sahaja yang pernah berdepan situasi sama. "Tidak... saya tak berasa malu pun untuk bercakap mengenainya kerana saya mahu mereka di luar sana sedar yang mereka tidak berkeseorangan. "Saya juga pernah melalui detik hitam dalam hidup sewaktu masih remaja. Ayah saya memang seorang yang 'sakit'. Seumur hidup saya dia seorang yang kuat minum alkohol. "Banyak-banyak perkara yang saya tahu mengenai dirinya adalah dia seorang yang kuat minum. Itu saja," ujarnya.