PEMILIK sebuah kafe di Thailand dikecam hebat netizen selepas dikatakan cuba menjual barangan yang digunakan salah seorang ahli kumpulan Kpop terkenal, Blackpink iaitu Lisa yang berkunjung ke premis berkenaan untuk sesi fotografi beberapa hari lalu. Melalui beberapa gambar yang di muat naik di Facebook, pemilik kafe tersebut mendedahkan dia menerima tawaran lebih 100,000 Bath atau RM13,600 untuk menjual sofa yang digunakan Lisa. Dia turut meminta orang ramai untuk membida tawaran tertinggi bagi memiliki barangan daripada kafenya. Lebih menjijikkan, beberapa netizen turut meninggalkan komen berbaur lucah apabila menawarkan untuk membeli pelapik tandas yang digunakan penyanyi yang terkenal dengan lagu Kill This Love itu. Lisa berkunjung ke kafe tersebut untuk sesi fotografi. Malah ada yang tanpa segan silu menjelaskan mahu membeli sebuah meja hanya untuk menghidu bau Lisa. Menerusi laporan allkpop, pemilik kafe tersebut bagaimanapun telah membuat permohonan maaf kepada peminat yang berang atas tindakannya itu. Dia bagaimanapun tidak membuat permohonan maaf kepada Lisa. Peminat turut menggesa pihak pengurusan Lisa iaitu YG Entertainment untuk bertegas dan mengambil tindakan terhadap perkara yang memalukan itu.