PENYANYI Hollywood terkenal, Justin Bieber mendedahkan dia disahkan menghidap penyakit Lyme. Bieber, 25, berkata, dia berasa sangat sedih hingga mengalami depresi apabila pelbagai tuduhan serta kecaman dilemparkan terhadapnya ketika dia sedang bertarung untuk berdepan penyakit itu. "Apabila terlalu ramai yang cakap kehidupan saya semakin tak tentu arah, saya kelihatan seperti seorang penagih dadah. "Tanpa mereka sedari sebenarnya ia disebabkan saya telah didiagnos menghidap penyakit Lyme. "Bukan itu sahaja, masalah itu menjadi lebih parah apabila ia turut memberi kesan kepada kulit, tenaga dan tahap kesihatan saya," katanya. Bieber memaklumkan mengenai berita sedih itu menerusi sebuah entri yang dimuat naik ke laman Instagram miliknya pada Rabu. Selain itu, penyanyi lagu Yummy ini berkata, dia akan berkongsi mengenai perjuangannya melawan penyakit yang tidak mempunyai penawar itu menerusi sebuah dokumentari yang akan dimuat naik ke laman YouTube, pada 27 Januari nanti. Penyakit Lyme menjadi punca Bieber berdepan masalah depresi. "Segala persoalan yang bermain difikiran anda mengenai penyakit ini akan terjawab menerusi siri dokumentari yang akan saya muat naik di Youtube tidak lama lagi. "Mungkin dengan itu anda akan belajar bagaimana saya berdepan melawan penyakit itu. “Ya, beberapa tahun kebelakangan ini amat sukar, tetapi rawatan yang betul akan membantu saya menjadi lebih sihat,” katanya. Penyakit Lyme merupakan penyakit yang boleh menjangkiti manusia dan haiwan melalui kutu. Antara gejala utama penyakit tersebut ialah mengalami sakit kepala dan sakit pada bahagian punggung. Selain itu, penghidap penyakit tersebut juga boleh lumpuh dan mengalami kerosakan jantung. Justin Bieber bukanlah selebriti pertama yang menghidap penyakit itu kerana sebelum ini pelakon dan model Yolanda Foster juga pernah mendedahkan dia bertarung dengan penyakit sama.