PENYANYI sensasi Rihanna dilaporkan telah berpisah dengan teman lelakinya, Hassan Jameel yang juga merupakan seorang jutawan Arab Saudi selepas tiga tahun pasangan itu menjalinkan hubungan cinta. Menurut sumber terdekat, pasangan itu sudah terputus hubungan dan tidak lagi menghubungi antara satu sama lain sejak beberapa bulan lalu. "Mereka sudah tidak bersama sejak beberapa bulan lalu," kata sumber terdekat. Penyanyi lagu Dont Stop The Music sebelum ini tidak begitu terbuka untuk berkongsi kepada umum mengenai hubungan cintanya bersama Hassan. Bagaimanapun pada Jun tahun lalu pemilik rangkaian kosmetik Fenty Beauty ini menyatakan kesediaan untuk menjadi isteri kepada teman lelakinya itu. Rihanna bersama Hassan ketika bercuti di Capri, Itali. Malah, Rihanna juga beberapa kali dikesan meluangkan masa bercuti bersama teman lelakinya itu bersama keluarga di sebuah pusat peranginan di Capri, Itali. Rihanna dan Hassan sebelum ini dilaporkan pernah putus cinta pada Julai 2018 namun kembali menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki sama. Hassan Jameel merupakan seorang usahawan muda dan juga pewaris kekayaan keluarganya Abdul Latif Jameel Company. Keluarganya merupakan antara yang paling kaya di Arab Saudi. - USweekly.com