BINTANG realiti televisyen, Kim Kardashian berkata dia sudah berjaya menghabiskan tahun pertama pengajiannya dalam bidang undang-undang. Isteri kepada penyanyi rap Kanye West ini turut menjelaskan dia bakal melancarkan sebuah dokumentari tentang sokongannya kepada kempen penambahbaikan undang-undang pembelaan terhadap pesalah jenayah. Kim mula menunjukkan minatnya terhadap bidang undang-undang selepas berjaya membebaskan dua wanita daripada penjara kerana dikatakan tidak mendapat keadilan sepatutnya. Kim Kardashian dan suaminya, Kanye West. "Saya sudah biasa dikritik, jadi ia tidak mendatangkan kesan kepada saya. "Saya benar-benar sedang beri tumpuan dengan apa yang saya usahakan ini, semua ini dilakukan bukan untuk kemegahan namun kerana saya peduli terhadap nasib mereka yang tidak bersalah," katanya seperti yang dilaporkan malaymail. Kim, 39, juga berkata dia menghabiskan kira-kira 20 jam setiap minggu dan baharu sahaja menyelesaikan tahun pertama pengajian yang bakal mengambil masa selama empat tahun di California. Dia turut merancang untuk mengambil peperiksaan bar (peperiksaan perundangan) pada 2022. Untuk rekod, mendiang bapa Kim Kardashian iaitu Robert Kardashian merupakan peguam terkenal di Los Angeles.