PENERBIT dan pengarah program realiti terkenal Running Man, Jung Chul Min akhirnya mendedahkan punca utama dia nekad untuk menarik diri daripada program berkenaan. Menerusi laporan soompi, Jung Chul yang sudah mengendalikan program tersebut selama lebih 10 tahun menjelaskan kesihatannya tidak sebaik dahulu tambahan lagi mengalami kesukaran untuk mencari idea baharu untuk ditonjolkan dalam program popular itu. "Saya sudah menjadi penerbit dan pengarah selama lebih 11 tahun dan tujuh tahun diabadikan untuk menghasilkan siri Running Man secara berterusan. "Kesihatan saya semakin tidak baik ketika ini tambahan lagi lutut turut mengalami masalah. "Malahan ia bukan satu kerja yang mudah untuk memerah idea baru bagi mencipta setiap cabaran untuk Running Man yang disiarkan saban minggu. Posisi Jung Chul bakal digantikan oleh pembantunya iaitu Choi Bo Pil. Jung Chul bakal mengarahkan siri Running Man buat kali terakhir pada 18 Februari ini. Running Man merupakan program realiti terkenal Korea Selatan dan turut mendapat sambutan baik seluruh dunia sejak ia mula ditayangkan pada 2010. Program ini menampilkan lapan orang selebriti iaitu Yoo Jae Suk, Haha, Ji Suk Jin, Kim Jong Kook, Lee Kwang Soo, Song Ji Hyo, Jeon So Min, dan juga Yang Se Chan.