SEPANJANG perintah untuk semua pihak duduk di rumah bagi membendung penularan wabak Covid-19, pelbagai aktiviti boleh dibuat bersama ahli keluarga. Begitu juga isteri kepada pelakon Shah Rukh Khan iaitu Gauri Khan yang mengambil kesempatan mempelajari ilmu solekan daripada anak perempuannya, Suhana Khan. Menurut laporan IndiaToday, Gauri berkongsi mengenai aktivitinya itu sepanjang tempoh kuarantin yang dikuatkuasakan oleh kerajaan India, baru-baru ini. "Belajar petua bersolek bersama Suhana Khan," tulisnya dalam sekeping gambar yang dimuat naik di laman Instagram pada Isnin. Shah Rukh Khan dan keluarganya itu mematuhi perintah kerajaan dengan duduk di rumah bagi membendung penularan wabak Covid-19. Gauri (kanan) bersama anak perempuannya Suhana. Pada 22 Mac lalu, pelakon Fan itu berkongsi rakaman video menasihati peminatnya untuk terus berada di dalam rumah dan mematuhi saranan kerajaan sepanjang tempoh perintah berkurung. "Kita akan sama-sama membantu menentang penyebaran virus, walaupun kita mungkin perlu melakukan ini lagi sehingga semuanya selesai. "Kuatkan diri dan tepuk tangan dengan penuh semangat untuk lebih banyak kegembiraan hari esok. "Kepada semua yang berkorban dan bekerja tanpa henti hari ini, kami sangat hargai," katanya. Sebelum itu, Shah Rukh Khan juga memuat naik beberapa video cuba untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai wabak Covid-19.