PENYANYI rock Bryan Adams digelar 'rasis' selepas berkongsi satu entri di laman Instagram dan Twitter yang menyalahkan negara China atas pandemik yang sedang berlaku di seluruh dunia. Adams, 60, seperti menyalahkan penduduk Wuhan, China, lokasi yang dipercayai mencetuskan pandemik itu. "Malam ini seharusnya menjadi permulaan beberapa persembahan di Royal Albert Hall, tapi disebabkan mereka yang tamak, makan kelawar, menjual haiwan eksotik di pasar basah, dan mencetuskan virus, aktiviti di seluruh dunia terpaksa ditangguhkan. Tak lupa juga yang terpaksa menderita atau yang telah maut disebabkan virus ini. "Mesej saya kepada mereka, selain ingin mengucapkan "terima kasih", anda juga boleh cuba diet vegan," ujarnya. Reaksi sebahagian pengguna Twitter terhadap Adams. Entri tersebut mendapat kecaman netizen Twitter yang menganggap Adams 'rasis' walaupun disampaikan secara bersahaja. "Berhenti berkelakuan seperti anda seorang sahaja yang melaluinya. Persembahan saya dan artis lain juga dibatalkan. Perniagaan ditutup dan ramai yang kehilangan keluarga dan mata pencarian" tulis seorang pengguna Twitter. "Saya sudah buang album Bryan Adams. Saya tak akan mainkannya lagi," ujar seorang lagi pengguna Twitter. Setakat ini, Adams masih belum memberi komen tentang reaksi netizen di laman Twitter dan Instagram. SUMBER: Daily Mail Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!