suria

Isu konsert di zon merah Covid-19, Rhoma Irama jelaskan perkara sebenar - “Pada awalnya kami setuju persembahan dibatalkan...”

Penyanyi dangdut Indonesia Rhoma Irama menjelaskan dia membuat persembahan atas permintaan orang ramai.

PENYANYI dangdut Indonesia Rhoma Irama mencetuskan kontroversi selepas melanggar Pembatasan Sosial Berkala Besar (PSBB) dengan mengadakan persembahan di kawasan zon merah Covid-19 pada Ahad.

Rhoma yang berusia 73 tahun itu muncul dalam sebuah majlis berkhatan yang diadakan di Desa Cibunian, Kabupaten Bogor, Jawa Barat, Indonesia.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat konsert di zon merah Covid-19, Rhoma Irama berdepan tindakan

Menurut laporan liputan6, Rhoma menjelaskan bahawa dia telah membatalkan tawaran untuk menyanyi dengan kumpulannya, Soneta, pada acara tersebut.

"Pada awalnya kami bersetuju bahawa tiada persembahan, selepas itu tuan rumah mengatakan kepada saya yang Ketua Polis Nasional dan Gabenor Jawa Barat telah beri kelonggaran, jadi acara itu tetap diteruskan.



Rhoma Irama mengadakan persembahan demi memenuhi permintaan tetamu yang datang.

"Cuma, saya katakan kami tidak dapat membuat persembahan sebelum PSBB betul-betul selesai," katanya.

Justeru itu, penganjur majlis tersebut hanya mengundang Rhoma sebagai tetamu dan dipersetujui penyanyi itu.

Dalam pada itu, Rhoma turut diminta memberikan sedikit ucapan pada acara tersebut.

"Saya pun ke sana dan melihat ada ramai orang serta beberapa artis lokal turut mengadakan persembahan.

"Majlis itu merupakan sebuah majlis berkhatan, jadi penganjur meminta saya beri sedikit ucapan pendek," jelasnya.

Bagaimanapun, orang ramai di situ memintanya untuk mendendangkan sebuah lagu sebagai meraikan mereka.

"Saya tidak mahu menghampakan mereka yang meminta saya untuk menyanyi, itu saja. Saya juga ditemani pihak berkuasa sepanjang di ruang menunggu, bilik tetamu mahupun di atas pentas," katanya.

Rhoma Irama, PSBB, Covid-19

Artikel Lain