suria

Selepas 90 hari dirawat akibat jangkitan Covid-19, Nick Cordero akhirnya meninggal dunia

Nick Cordero meninggal dunia pada usia 41 tahun.

PELAKON Broadway, Nick Cordero meninggal dunia pada usia 41 tahun selepas bertarung dengan virus Covid-19 yang dijangkiti sejak tiga bulan lalu.

Nick menghembuskan nafas terakhir di Hospital Cedars-Sinai, Los Angeles, Amerika Syarikat pada Ahad.

Berita sedih itu dikongsi oleh isterinya Amanda Kloots menerusi laman Instagram.

"Suami saya meninggal dunia pagi tadi, Ahad. Kami sekeluarga bersamanya sempat berdoa sebelum dia pergi.

"Saya masih tidak percaya dan merasa kesakitan yang teramat. Hati saya hancur dan tidak dapat bayangkan hidup tanpa dia kerana dia penyinar kami.

"Dia adalah sahabat semua orang, suka mendengar dan berkata-kata. Dia adalah aktor dan pemuzik yang sangat hebat. Dia kesayangan keluarga dan disayangi sebagai bapa dan suami," katanya.



Nick bersama isteri, Amanda. Foto: FILMMAGIC

Nick dimasukkan ke hospital berkenaan sekitar Mac lalu.

Pada awalnya, doktor tidak dapat mengesahkan penyakit dialaminya kerana ujian pertama Covid-19 negatif, namun keadaan kesihatannya semakin merosot dan disahkan dijangkiti virus itu.

Dalam pada itu, Amanda turut berterima kasih kepada pakar perubatan di hospital berkenaan yang membantu merawat suaminya sepanjang berada di wad.

"Kepada doktor luar biasa, Dr David Ng, kamu doktor yang positif... tidak ramai doktor seperti kamu.

"Kamu sangat baik hati, bijak, penyayang, dan sentiasa setia mendengar luahan serta panggilan saya. Terima kasih," katanya.

Nick meninggalkan isteri Amanda dan seorang anak lelaki iaitu Elvis.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Nick Cordero

Artikel Lain