PENYANYI BoA ditahan pihak polis bagi membantu siasatan selepas dia didakwa cuba menyeludup masuk ubat terlarang ke Korea Selatan, baru-baru ini. Selebriti berusia 34 tahun itu dipercayai cuba menyeludup masuk pil tidur Zolpidem yang dibeli dari Jepun oleh seorang staf dari syarikat pengurusannya, SM Entertainment. SM Entertainment menerusi kenyataan medianya berkata insiden itu merupakan salah faham di mana BoA sama sekali tidak mempunyai niat jahat untuk menyeludup masuk bahan terlarang ke Korea. "Pekerja kami mendapatkan ubat tersebut di sebuah hospital di Jepun untuk BoA yang mempunyai masalah sukar tidur, namun dia terlupa untuk mengisytiharkan ubat tersebut kepada pihak kastam Korea," kata kenyataan tersebut. Menurut syarikat pengurusan itu lagi, BoA mengambil ubat tersebut di atas nasihat doktor yang merawatnya. Pihak pendakwa raya walau bagaimanapun akan tetap melakukan siasatan penuh mengenai insiden tersebut tanpa mengambil kira sebarang prejudis. BoA menceburkan diri dalam karier muzik sejak berusia 14 tahun dan diberi gelaran Star of Asia oleh peminatnya. Baru-baru ini BoA telah melancarkan album terbaharu, Better bagi meraikan ulang tahun ke-20 penglibatannya dalam bidang seni. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!