TIDAK seperti selebriti Hollywood lain yang gemar menyembunyikan anak mereka, pelakon Angelina Jolie pula sering dilihat membawa anak-anaknya keluar membeli-belah bersama-sama. Menurut aktres berusia 46 tahun itu, dia mahu membiasakan anak-anaknya untuk menjalani kehidupan normal sama seperti remaja seusia mereka. Pelakon itu sering membawa keenam-enam anaknya, Maddox, 20, Pax, 18, Zahara, 16, Shiloh, 15, dan pasangan kembar Vivienne dan Knox, 13, mengunjungi pusat beli-belah, kedai binatang peliharaan serta kedai seni dan kraftangan berdekatan kediaman mereka di Los Angeles, Amerika Syarikat. "Angelina mahu kesemua anaknya merasa menjadi remaja yang menjalani kehidupan normal serta tidak hanya hidup dalam dunia mereka semata-mata. "Pelakon itu turut menjadikan aktiviti beli-belah itu sebagai satu daripada rutin untuknya menghabiskan masa berkualiti bersama anak-anak," kata sumber rapat pelakon tersebut. Walaupun mahukan anak-anak menjalani kehidupan normal seperti remaja lain, namun Angelina tidak dapat menolak aktiviti kegemaran yang dilakukan bersama anak-anaknya itu akan turut 'diganggu' dengan kehadiran paparazi. "Kalau ikutkan Angelina, dia lebih suka pergi membeli-belah di tempat yang lebih privasi namun dia terpaksa akui di mana-mana sahaja dia dan anak-anak berada, kehadiran mereka pasti diekori paparazi. "Jadi dia akan cuba sebaik mungkin untuk melindungi anak-anaknya daripada terlalu menjadi tumpuan umum," kata sumber itu lagi. - Hollywoodlife Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!