AHLI kumpulan BTS, Jungkook menerima kecaman ramai susulan pendedahan tangan kanannya yang penuh dengan cacahan tatu. Menerusi rakaman video program Run BTS episod ke-125 yang ditayangkan pada Selasa, ia telah mencetuskan kekecohan dalam kalangan peminat kumpulan gergasi K-Pop itu. Jungkook atau nama sebenarnya, Jeon Jungkook, 24, sebelum ini sering kali menyorokkan pergelangan tangannya ketika membuat persembahan dengan menggenakan baju lengan panjang. Namun, dia terpaksa mendedahkan sebahagian tangannya apabila dia perlu melakukan aktiviti memasak untuk program tersebut. Dalam rancangan itu, keenam-enam ahli BTS dicabar untuk aksi cabaran kepakaran memasak yang diadili oleh cef popular Korea Selatan iaitu Baek Jong Won. Biarpun menerima kecaman, namun ada juga sesetengah peminat setia mereka yang digelar Army (fandom BTS) menyukai lukisan tatu tersebut. Di Korea, mencacah tatu adalah satu perkara taboo (larangan) malah kebanyakan stesen televisyen di sana akan menyuruh selebriti yang mempunyai tatu agar menyorokkan daripada pandangan umum sebelum tampil dalam mana-mana persembahan. Run BTS merupakan program hiburan mingguan terbitan Big Hit Entertainment yang ditayangkan di saluran Weverse milik agensi pengurusan tersebut pada setiap hari Selasa, pukul 9 malam. Untuk episod terbaharu itu, Suga tidak kelihatan kerana masih lagi berada dalam tempoh pemulihan susulan pembedahan bahu yang dijalaninya tahun lepas. Selain Suga dan Jungkook, BTS turut dianggotai oleh RM, Jin, J-Hope, Jimin dan V. - Allkpop Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!