UPACARA memperingati kematian pelakon Thailand, Tangmo Nida akan diadakan selama tiga hari di gereja Liberty Bangkok bermula 11 hingga 13 Mac ini. Menurut laporan Bangkok Post, majlis tersebut diadakan sebagai penghormatan buat Tangmo yang disahkan meninggal dunia akibat lemas pada 24 Februari lalu. Dalam perkembangan lain, ibunya iaitu Panida mahu bedah siasat atau autopsi dilakukan semula terhadap mayat anak perempuannya itu. ARTIKEL BERKAITAN: Ramai marah ibu Tangmo Nida sanggup maafkan 2 suspek selepas terima RM3.8 juta! Hal ini dimaklumkan oleh peguam kepada Panida iaitu Krissa Sriboonpimsuay. Krissa meminta pihak polis menyerahkan kes bedah siasat ini kepada Bekas Pengarah Forensik iaitu Khunying Porntip Rojanasunan kerana berasakan terdapat keraguan pada keputusan bedah siasat terdahulu. Meskipun Khunying sudah menjadi senator, namun Panida lebih mempercayai pakar forensik itu untuk melakukan bedah siasat kedua. Ibu tak puas hati hasil keputusan bedah siasat pertama. Untuk rekod, mayat Tangmo Nida dijumpai oleh pasukan penyelamat tempatan selepas tiga hari hilang dipercayai lemas. Mayatnya ditemui terapung di sungai sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi, Bangkok, kira-kira 1 kilometer dari lokasinya terjatuh. Pegawai bahagian Forensik Hospital Umum Polis, Kol Pol Naphat Natthasumon mengesahkan kematian Tangmo akibat lemas kerana terdapat lumpur pada bahagian paru-paru. Pada Isnin lalu, Ketua Polis Thailand iaitu Suwat Jangyodsuk membuat andaian awal kematian aktres itu disebabkan kemalangan. Ini berdasarkan bukti-bukti seperti rakaman telefon bimbit, kelajuan bot dan data pada GPS. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!