KUMPULAN popular BTS akhirnya akan memulakan sesi latihan ketenteraan seperti mana yang diwajibkan oleh semua kaum lelaki di Korea Selatan sebelum memasuki usia 30 tahun. Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan kumpulan berkenaan, Jin bakal menjadi anggota pertama melaporkan diri selepas selesai pelancaran album solonya hujung Oktober ini. Pengumuman tersebut sekaligus menjelaskan tiada sebarang aktiviti berkumpulan bagi semua anggota BTS dan mereka dijangka bergabung semula pada tahun 2025. ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Korea Selatan buat tinjauan sama ada BTS perlu jalani latihan ketenteraan "Sejak BTS ditubuhkan, kumpulan ini telah meraih kejayaan di peringkat antarabangsa. Pihak pengurusan menghormati keperluan untuk berkhidmat demi negara. "Jin akan memulakan latihan selepas selesai pelancaran album solo hujung Oktober ini. Anggota lain akan menyusul mengikut perancangan masing-masing. "Pihak pengurusan dan semua anggota BTS tidak sabar untuk kembali bergabung sebagai sebuah kumpulan sekitar tahun 2025 nanti," jelas kenyataan tersebut. Isu tentang penglibatan BTS dalam latihan ketenteraan sebelum ini menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat. Pihak kerajaan negara itu juga sebelum ini dikatakan sedia memberi pengecualian bagi menyertai program berkenaan atas dasar kejayaan dalam bidang seni yang telah dicapai oleh BTS. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI