suria

Sesi bertemu peminat Single's Inferno 2 batal, peminat bengang harga tiket tak masuk akal

Peserta Single's Inferno 2 terima kecaman netizen.

PESERTA program realiti Korea, Single’s Inferno musim kedua iaitu Jo Yoong Jae dan Choi Seo Eun dikecam netizen apabila mengenakan caj tiket yang tinggi untuk sesi bertemu peminat.

Disebabkan perkara itu, Yoong Jae membuat permohonan maaf secara terbuka di Instagram miliknya dan menerima teguran yang diberikan peminat berhubung isu berkenaan.

Kata Yoong Jae, dia hanya mahu menganjurkan acara itu sebagai menghargai sokongan peminat namun sedar bersikap tidak bertimbang rasa berhubung harga tiket yang dikenakan.

"Saya melihat dengan teliti segala yang diperkatakan oleh semua orang. Saya menerima teguran tersebut.

Yoong Jae dan Seo Eun ketika di pulau 'Inferno'.

"Saya bersetuju untuk mengadakan sesi bertemu peminat kerana ingin berterima kasih kepada mereka atas segala sokongan yang diberikan namun, saya seperti tidak bertimbang rasa mengenakan caj yang tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Yoong Jae memberitahu acara itu akan dibatalkan dan akan menganjurkan satu lagi sesi bertemu peminat menggunakan wang sendiri.

Peserta lelaki itu turut meluahkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku dan berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Blackpink bakal muncul dengan program realiti terbaharu 'Born Pink Memories'

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat gembira dapat khabar daripada Jin BTS, kiriman 3 foto dalam kem tentera ubat rindu

"Saya tahu peminat pasti kecewa dengan situasi ini. Saya hanya ingin meluangkan masa dan mencipta kenangan indah bersama orang yang menghargai kita.

"Saya akan menerima segala impak dan mengambil peluang ini untuk menjadi lebih berhati-hati," ujarnya.

Terdahulu, Yoong Jae dan Seo Eun mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan sesi bertemu peminat selama 80 minit secara percuma pada 11 Februari ini di dewan persembahan di Nonhyeon-dong, Gangnam-gu, Seoul, Korea Selatan.

single2 - 1

Barisan peserta Single's Inferno musim kedua.

Bagaimanapun, kedua-dua peserta itu mendapat kecaman selepas didakwa menjual tiket pada harga 77,000 KRW (RM268).

Ramai peminat berasa marah dan membandingkan harga tiket perjumpaan peminat mereka dengan harga selebriti popular.

Untuk info, Single’s Inferno merupakan rancangan realiti temu janji yang popular, di mana lelaki dan perempuan akan mencari cinta sewaktu tinggal bersama di pulau yang dipanggil 'Inferno'.

Rancangan ini merupakan program realiti Korea yang berjaya memasuki carta global 10 teratas di platform penstriman Netflix.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain