suria

Nessa rapatkan lagi hubungan Natasha dengan media

Filem Tipu Kanan Tipu Kiri lakonan Natasha bakal menemui penonton mulai 16 Oktober depan. -foto THE STAR oleh MOHD. SAHAR MISNI
Filem Tipu Kanan Tipu Kiri lakonan Natasha bakal menemui penonton mulai 16 Oktober depan. -foto THE STAR oleh MOHD. SAHAR MISNI
Filem Tipu Kanan Tipu Kiri lakonan Natasha bakal menemui penonton mulai 16 Oktober depan. -foto THE STAR oleh MOHD. SAHAR MISNI

SELEPAS kisah kontroversi pelakon Datin Natasha Liana Hudson atau Natasha Hudson tersebar ekoran dirinya meminggir pihak wartawan daripada menghadiri majlis perkahwinannya bersama ahli politik dan usahawan Datuk Shahrin Zahari di Carcosa Sri Negara, Kuala Lumpur tahun lalu, kisah hidupnya semakin kurang disiarkan oleh media cetak.

Kini, sudah setahun kontroversi itu berlalu, Natasha kembali mewarnai dunia seni melalui lakonannya dalam filem Tipu Kanan Tipu Kiri yang bakal ditayang di pawagam mulai 16 Oktober ini.

Baru-baru ini, wanita berusia 26 tahun ini ada meluahkan perasaannya di sebuah akhbar tempatan agar diberikan peluang oleh media.

Mungkin datin muda ini terasa media seolah-olah tidak dapat memaafkannya lagi sehingga sanggup meminggirnya sejak sekian lamanya.

Namun, ibu kepada Nessa Hedena Shahrin ini tidaklah terlalu menyimpan rasa amarah dengan media kerana sehingga kini dia masih melayan panggilan dan SMS pihak media yang menghubunginya.

Kata Natasha, apabila mana-mana wartawan bertanyakan khabar dan ingin merakamkan gambar anaknya, dia akan cuba memenuhi kehendak mereka.

"Kisah dulu tu hanya salah faham. Lagipun, apa salahnya mereka berikan saya peluang kerana saya sendiri tidak mahu meninggalkan bidang seni ini.

"Alhamdulillah, sekarang hubungan antara saya dan pihak media sudah pulih. Namun saya tahu mereka kecewa dengan saya," ujar Natasha.

Berkat kesabaran Natasha menghadapi masalah ini menjadi rahsia mengapa dia semakin diterima oleh peminat dan wartawan sekarang.

"Masa saya menghadapi situasi tersebut, saya hanya mendiamkan diri dan bersabar.

"Saya tak boleh salahkan mereka dan memaki hamun mereka. Saya ambil pendekatan untuk menghilangkan diri buat sementara waktu.

"Semasa saya berhadapan dengan kontroversi itu, ada juga wartawan yang menghubungi saya dan hubungan kami tidaklah seteruk yang disangka orang di luar sana.Jadi, sekarang saya dah rasa ok dan gembira sebab dapat berjumpa dengan kawan-kawan. Kebanyakan daripada mereka nak tengok bayi saya yang berusia tiga bulan kini.

"Karier saya sudah tidak seperti dahulu lagi. Saya juga boleh menghadiri majlis-majlis keraian. Sebelum ini bosan juga duduk di rumah sahaja.

"Sekarang ini saya juga teringin untuk aktif kembali dalam industri. Suami kata sabar dan tunggu sehingga anak dah besar sikit. Mungkin apabila anak dah masuk enam bulan dan boleh kenal saya baru saya akan aktif semula," cerita Natasha yang masih menanamkan minat menulis sehingga sekarang.

Tidak serik menulis lagi

Walaupun tiga buah sajak di dalam buku tulisannya iaitu Puisi Indah Si Pari-Pari pernah dikatakan menciplak karya orang lain suatu ketika dahulu, Natasha tidak pernah serik untuk menulis dan bercita-cita untuk menerbitkan sebuah buku cerita untuk kanak-kanak.

"Waktu saya mengandung dahulu, saya dah mula menulis separuh jalan buku cerita untuk kanak-kanak berdasarkan pengalaman saya semasa kecil dahulu.

"Tetapi, sekarang tak tahu lagi bila saya akan sambung menulis semula sebelum menerbitkan buku itu," kata Natasha yang mendapat inspirasi menulis daripada keluarga dan sepupunya dari kecil.

Untuk Hari Raya Kali ini, Natasha bakal beraya di dua destinasi iaitu kampung ibunya di Perak dan kampung mertuanya di Kelantan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain