suria

Noryn Aziz ingin cuba dalami bidang lakonan

Noryn lahirkan hasrat untuk mendalami bidang lakonan - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Noryn lahirkan hasrat untuk mendalami bidang lakonan - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Noryn lahirkan hasrat untuk mendalami bidang lakonan - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

KARIER seni penyanyi bernama Noryn Aziz ini bukanlah baru saja bertapak. Diakui, 'kebangkitan' semula karier nyanyian bekas anggota Sisters Sisters yang pernah mencuri perhatian ramai sekitar tahun 90-an ketika ini memang merupakan satu pencapaian besar di dalam kerjaya seninya ini.

Di saat dirinya ingin memeriahkan semula industri yang cukup berliku ini, Noryn tidak terlepas dengan tanggapan ramai yang agak skeptikal dengan muzik yang diketengahkan olehnya.

Ramai juga yang berpendapat karier solo penyanyi pop jazz ini mungkin tidak ke mana, apatah lagi mereka menyifatkan lagu-lagu yang ditampilkan menerusi album solo pertamanya, Alam Maya hanya mampu diterima oleh golongan 'urban'.

Namun, minat yang mendalam penyanyi berusia 31 tahun ini terhadap jalur muzik jazz itu tidak pernah sedikit pun tercalar. Inisiatif yang diambilnya untuk menghasilkan album sulungnya itu kira-kira dua tahun lalu di bawah labelnya sendiri, Maze Entertainment membuktikan betapa besarnya impian Noryn di dalam industri ini.

Tidak dinafikan, percaturannya itu tidak sia-sia. Dengan bakat hebat yang dimiliknya, Noryn mula berjaya mengumpul 'fan base' tersendiri.

Berjaya mengharumkan nama negara menerusi pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini nampaknya terus membuka ruang yang lebih buat Noryn untuk membawa karier seninya di peringkat lebih tinggi.

"Alhamdulillah, saya tidak pernah jangka karier saya kini terus memuncak, apatah lagi laluan saya untuk sampai ke tahap ini bukannya mudah. Mungkin kerana 'jiwa' saya memang di dalam bidang ini, jadi saya tidak kisah meletakkan usaha yang lebih dalam karier saya ini.

"Berbaloi juga apa yang telah saya lakukan selama ini. Saya akui selepas kejayaan di Amerika Syarikat tempoh hari, graf prestasi saya juga semakin meningkat. Tawaran show semakin banyak saya terima, malah jadual saya memang akan sibuk sehingga tahun depan.

"Sepanjang Ramadan ini saja yang saya dapat 'relaks' sikit.. hanya menjayakan beberapa buah program raya di samping dalam proses mengumpulkan material bagi penghasilan album kedua saya," kata Noryn yang ditemui baru-baru ini.

Sambil sibuk menceritakan tentang pembikinan album barunya yang masih mengekalkan konsep jalur muzik yang sama, Noryn sempat juga berbicara tentang impiannya untuk cuba mendalami bidang lakonan pula selepas ini.

"Sejujurnya, memang sudah lama saya simpan impian untuk berlakon, terutamanya untuk teater muzikal.

"Tetapi saya rasa lebih elok jika saya belajar dulu serba-sedikit tentang ilmu lakonan sebelum saya cuba menceburi bidang ini.

"Saya tidak mahu orang bercakap macam-macam tentang saya jika saya terus berlakon tanpa sebarang asas lakonan. Lagipun, tidak rugi jika saya belajar tentang bidang lakonan kerana bagi saya, ia juga merupakan satu cabang seni.

"Jika saya tidak berlakon pun, saya tetap boleh gunakan pengetahuan tersebut dalam bidang nyanyian... misalnya untuk wujudkan lebih emosi ketika menyanyi," tutur Noryn.

Katanya lagi, bukan saja bidang lakonan, malah jika berkesempatan kelak, dia juga ingin mendalami lebih banyak ilmu yang menjurus ke arah kesenian dan justeru, mampu menjadikan dirinya seorang yang serba-boleh di dalam bidang seni.

"Banyak perkara sebenarnya yang menarik minat saya untuk belajar lebih tentang seni.

"Cuma apa yang membataskan saya untuk lakukan ialah masa. Insyaallah, jika saya berkesempatan kelak, pasti saya akan lakukannya," ujar Noryn.

Bercerita tentang kedatangan Syawal beberapa hari saja lagi, kata penyanyi ini, dia hanya menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur memandangkan ahli keluarganya juga berada di sini.

"Raya kali ini saya rasa sama saja seperti tahun-tahun sebelum ini. Malah, pada Hari Raya pertama saya juga akan menjayakan sebuah program. Nasib baik saya hanya menyambut di KL, jadi tidak ada masalah," katanya yang akan bercuti raya sehingga 8 Oktober ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain