Awie bakal terbitkan album solo dan kumpulan pada tahun depan. -foto THE STAR oleh SHAARI CHE MATMASIH ingatkah yang penyanyi rock Awie pernah berduet dengan kumpulan nasyid Raihan melalui lagu Dari Tuhan suatu ketika dahulu?Jadi, tidak hairanlah jika Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman kembali terpanggil untuk membikin album penuh lagu-lagu bercorak nasyid dan ketuhanan. "Insya-Allah, tahun depan saya berhajat untuk membuat album penuh yang memuatkan lagu-lagu ketuhanan," kata Awie.Namun begitu, komitmen Awie tidak tertumpu kepada penghasilan album solonya sahaja malah dia juga bakal menerbitkan album terbaru kumpulannya, Wings pada tahun depan.Awie yang kembali bersatu dengan Wings pada tahun 2000 lalu sudah melakar strategi untuk dilakukan bersama anggota kumpulannya yang lain iaitu Eddie (basis), Black (dram) dan Joe (gitaris).Sudah namanya penubuhan Wings yang baru, maka Awie juga inginkan album mereka dimuatkan dengan lagu-lagu yang segar dan baru untuk santapan peminat mereka."Lagu-lagu kami sudah diproses dan sedang diimprovisasikan dan diubah mana yang sesuai atau tidak."Antara penerbit lagu-lagu tersebut adalah Wings sendiri dan kemungkinan besar M. Nasir akan turut serta. Joe dari kumpulan kami juga menyumbangkan lagu dalam album tersebut," jelas Awie.Memandangkan Wings telah lama tidak menghasilkan album baru sejak mereka mendiamkan diri seketika. Ketika itu pula Awie telah mengambil keputusan untuk keluar dari Wings.Bagaimanapun, Awie yakin kumpulan yang ditubuhkan pertama kali sejak tahun 1980-an itu masih mempunyai ramai peminat sekaligus menampakkan pengaruh Wings belum pudar dalam industri seni ini."Baru-baru ini, kami selalu membuat persembahan di Planet Hollywood seperti 'Konsert Orange'. Biasanya penuh juga tempat tu. Jadi, kami yakin yang peminat Wings masih ada dan mereka inilah yang akan membeli album kami nanti," ujar Awie.Demi peminat juga, Wings akan turun ke Singapura untuk menjayakan Konsert Ulangtahun Wings yang pertama di Suntex City pada 7 November nanti."Kami ingin memeriahkan kembali industri seni bukan sahaja di dalam negara malah juga di luar negara. Dalam konsert itu, hanya Wings yang membuat persembahan selain kami akan menonjolkan bekas ahli-ahli Wings," tutur Awie ringkas.Konsert tersebut dianjurkan oleh syarikat Awie sendiri iaitu Awie Entertainment dengan kerjasama syarikat dari Singapura iaitu 3 Khair.Kali terakhir Wings membuat konsert di Singapura adalah kira-kira dua tahun lalu.Sebelum ini, Wings juga pernah menjayakan konsert mereka di Indonesia.Berbalik kepada karier Awie, vokalis kumpulan Wings ini juga turut aktif dalam dunia lakonan.Bayangkan, pada tahun lepas sahaja, dia sudah melakonkan enam buah filem termasuk filem Apa Kata Hati yang sudah menjengah pawagam.Kini Awie menunggu filem Antoo Fighter yang bakal ditayangkan pada bulan November nanti dan juga filem dengan kerjasama produksi Thailand iaitu Brave."Setakat ini, saya berehat dahulu daripada lakonan. Mungkin saya akan terlibat dengan lakonan sebuah filem pada bulan Disember depan."Nak tahu filem apakah itu, kita tunggu sahaja nanti sebab saya belum menandatangani apa-apa perjanjian lagi," beritahu Awie lagi.