NAMANYA di negara seberang mungkin tidak 'segah' Datuk Siti Nurhaliza yang boleh dikatakan antara artis tempatan yang cukup menyerlah di Indonesia.Hakikat itu tidak pernah disangkal oleh Farawahida yang mesra dengan panggilan Fara ini, namun itu semua tidak menghalang penyanyi yang pernah popular dengan lagu Tanpamu ini meneruskan usahanya untuk menembusi pasaran negara itu. Percaturan pertamanya kira-kira dua tahun lalu menerusi album sulungnya menampakkan tanda-tanda positif.Mengakui itu merupakan permulaan untuk dirinya cuba bertapak di sana, kata Fara, kali ini dia lebih berkeyakinan untuk terus mencuba nasib menerusi album kedua yang bakal diterbitkan hanya untuk pasaran Indonesia tidak lama lagi."Sebenarnya, saya sudah pun menghasilkan dua buah album di Malaysia iaitu Tanpamu dan Semuanya Ada Di Sini. Tetapi di Indonesia, hanya sebuah album saja yang dipasarkan di sana."Melalui album tersebut, saya melihat sambutan awalnya cukup baik meskipun kita sedia maklum bukan mudah untuk artis kita 'masuk' ke seberang."Melihat kepada permulaan yang agak baik itu, pihak pengurusan berhasrat untuk terus menghasilkan album kedua hanya untuk pasaran di sana. Di dalam album tersebut akan memuatkan empat buah lagu baru dan enam buah lagu lama yang dipetik daripada album kedua saya, Semuanya Ada Di Sini."Insya Allah, kita rancang untuk pasarkan album ini secepat mungkin pada tahun ini juga. Apa yang pasti, album ini akan dikeluarkan dulu sebelum saya menyusul dengan album ketiga saya untuk pasaran di sini pula," kata Fara yang ditemui baru-baru ini.Berbicara tentang album ketiganya itu, ujar penyanyi berusia 23 tahun ini, album terbarunya itu bakal menampilkan konsep yang berbeza, tidak seperti dua buah albumnya yang mengenengahkan genre pop komersial."Kali ini, saya akan tampilkan konsep etnik kontemporari, genre yang cukup berbeza dengan apa yang pernah saya bawakan sebelum ini. Saya akui, mungkin ramai yang agak skeptikal dengan genre muzik yang saya tampilkan ini...atau mungkin juga orang akan cakap ia tidak sesuai dengan diri saya."Tetapi tidak salah kan kalau saya mencuba sesuatu yang baru? Sama seperti penyanyi-penyanyi lain, saya juga ingin buat kelainan dalam perjalanan karier nyanyian saya. Lagipun, etnik kontemporari yang saya tampilkan ini cukup menarik dan mampu memikat hati pendengar, Insya Allah."Setakat ini, single pertama saya, Hilangkan Segalanya ciptaan Haj dan lirik oleh Julfekar menjadi lagu tema untuk drama bersiri Kasih Iftitah dalam slot Samarinda di TV3."Ramai juga sudah mula dapat menerima lagu tersebut. Album itu juga nanti akan memuatkan sebuah lagu ciptaan komposer Indonesia, Ari Bias berjudul Panah Asmara (Mati Gaya)."Ari pernah mencipta banyak lagu untuk artis-artis Indonesia seperti Kris Dayanti dan Agnes Monica," kata Fara yang pulang menyambut Hari Raya di Taiping, Perak sejak raya pertama lalu.