suria

Alin TV3 bercuti raya panjang Deja raya sakan di Kuala Lumpur

PELBAGAI gelagat artis dan selebriti menyambut perayaan Aidilfitri kali ini lebih-lebih lagi yang pertama kali meraikannya bersama suami tersayang dan keluarga baru.

Seperti personaliti TV3 Datin Norazlina Redzuan yang menyambut Hari Raya bersama suami, Datuk Yusof Annuar Yaacob di kediaman keluarganya di Kangar, Perlis manakala penyanyi popular Deja Moss di samping suaminya, Azfendy Azzudin berhari raya di rumah mertuanya di Kemensah Height, Kuala Lumpur.

Kedua-duanya meraikan hari lebaran kali ini dengan pelbagai rasa dan suasana yang berbeza.

Deja yang sebelum ini biasanya beraya di rumah keluarganya yang terletak di Kuching, Sarawak merasai kelainan apabila menyambut Hari Raya tahun ini di Kuala Lumpur bersama keluarga suaminya.

Cerita Deja mengenai sambutan Hari Raya pertamanya, perasaan sedih bercampur terharu terbit semasa bersalaman memohon maaf dan mencium tangan suami tercinta, Andy di pagi raya.

"Waktu tu memang saya rasa sedih sangat sehingga tak dapat menahan air mata lagi. Saya rasa terharu sebab pertama kali beraya bersama suami dan juga beraya di Kuala Lumpur tanpa keluarga sendiri.

"Namun, Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar...," kata Deja.

Tambah Deja lagi, kelainan yang turut dirasai dalam menyambut Hari Raya kali ini apabila dia perlu menyediakan pakaian raya suami di pagi raya dan selepas itu mereka bergerak ke rumah mertuanya.

"Kami berdua beraya di rumah keluarga Andy sepanjang Hari Raya pertama itu. Kemudian kami berjalan pula ke rumah kawan-kawan dan ibu angkat saya di sekitar Kuala Lumpur sehingga malam.

"Tak banyak sangat rumah kawan-kawan yang kami pergi. Dalam tiga hingga empat buah rumah sahaja. Malam tu kami dah tak larat nak beraya lagi dan sambung beraya pula pada esok harinya. Hari ini baru kami bergerak ke rumah tok suami saya di Pulau Pinang," cerita Deja yang sedang dalam perjalanan ke Kedah ketika dihubungi tadi.

Dalam pada itu, Norazlina yang lebih mesra dengan panggilan Alin turut berkongsi cerita Hari Raya dengan pelbagai aktiviti menarik di samping suami dan keluarga tersayang.

"Raya kali ini meriah juga dan tidak banyak beza seperti tahun-tahun lepas. Cuma yang seronoknya apabila saya dapat bercuti raya panjang sehingga esok.

"Tahun lepas, saya sempat beraya di Perlis pada Hari Raya pertama sahaja dan pada sebelah malamnya saya perlu pulang ke Kuala Lumpur kerana pada Hari Raya kedua sudah bekerja. Kali ini, mereka beri peluang kepada saya untuk bercuti lama sedikit," luah Alin yang ketika ini masih berada di Perlis.

Bercerita tentang sambutan Hari Raya pertama Alin dan keluarganya baru-baru ini, pada pagi raya mereka sekeluarga menziarahi kubur ahli keluarga yang telah meninggal dunia dan bersembahyang raya.

"Kami sekeluarga turut menikmati sarapan pagi dengan makanan tradisi Hari Raya iaitu Ayam Panggang Raja dan Lidah Lembu yang dimakan bersama roti. Makanan tersebut memang kami amalkan setiap kali Hari Raya dan ia merupakan makanan turun-temurun sejak zaman nenek moyang kami dahulu.

"Selepas beraya dengan keluarga, kami beramai-ramai pergi ke istana berjumpa dengan Tuanku. Kami juga berjumpa dengan kakak ibu saya iaitu 'Mak Chak'.

"Pada sebelah malamnya, kami mengadakan majlis rumah terbuka dengan hidangan barbeque," jelas Alin yang setiap tahun beraya bersama keluarga besarnya di Perlis.

Menurut Alin, setiap kali raya, saudara maranya dari Kuala Lumpur akan turun dan berkumpul di rumah keluarganya di Kangar, Perlis.

Memandangkan suaminya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TM International dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Telekom Malaysia itu mempunyai saiz keluarga yang kecil, maka keseronokan perayaan kali ini lebih dirasai oleh Datuk Yusof berbanding Alin yang sudah biasa dengan keluarga sendiri.

Tambah menarik lagi, raya Alin sekeluarga pada setiap tahun turut diwarnai dengan aktiviti tahunan berkonsepkan reunion.

"Kalau tahun lepas, kami sekeluarga mengadakan golf tournament. Hanya yang lelaki bermain golf sementara yang lain akan menikmati hidangan rumah terbuka yang dilakukan di situ.

"Tetapi kali ini kami sekeluarga melakukan reunion di Padang Besar, Perlis sahaja. Kami makan tengah hari di sana sambil menghabiskan masa bersama-sama," tutur Alin mengakhiri perbualan.

Artikel Sebelum

Chance to win free tickets