suria

Sherry mula ambil serius bidang lakonan

PEMBABITAN Sherry Ibrahim di dalam bidang lakonan sudah menjangkau usia hampir dua tahun. Bermula dengan drama bersiri Dunia Baru musim kedua dan filem Malaikat Maut yang masih belum ditayangkan, Sherry sedikit demi sedikit mula mengukir nama di dalam bidang lakonan.

Hari demi hari, wajah Sherry sudah sering dilihat menghiasi kaca televisyen menerusi drama-drama seperti Elly,Gaia, Mahsuri dan Renjis. Melihat kepada graf prestasi kariernya yang semakin memuncak itu, Sherry nekad tidak mahu lagi memandang enteng terhadap bidang tersebut, tidak seperti dia ketika dia mula-mula menceburi dunia seni itu.

"Dulu sewaktu saya masih bertugas sebagai pramugari, saya tidaklah begitu risau jika tiada tawaran lakonan yang saya dapat. Tetapi sejak April lepas, saya nekad untuk serius dalam bidang ini setelah saya tamatkan khidmat saya sebagai pramugari.

"Sekarang ini, lakonan adalah satu-satunya punca rezeki saya. Saya sudah tidak boleh duduk diam menantikan tawaran datang bergolek. Kali ini, saya kena letakkan usaha yang berganda kerana selain ia menentukan rezeki saya, saya juga lakukannya kerana minat yang mendalam dalam bidang seni ini.

"Alhamdulillah, saya makin menerima respon positif terhadap lakonan-lakonan saya. Setakat ini, saya rasa drama bersiri Renjis yang saya lakonkan bersama pelakon-pelakon seperti Elyana, Ashraf Sinclair dan Ashraf Muslim lebih banyak menaikkan nama saya. Begitu juga dengan siri Dunia Baru dulu.

"Apa yang boleh saya katakan, tawaran berlakon tidak putus-putus saya terima. Ada untuk filem dan teater juga, tetapi saya terpaksa tolak kerana jadual yang tidak mengizinkan. Saya tidak mahu terburu-buru dan rakus menerima segala tawaran," ujar pelakon berusia 25 tahun ini.

Akui Sherry, dia kini sudah mula selesa dengan bidang lakonan. Malah, anak sulung daripada tiga beradik ini cukup gembira apabila siri Renjis akan kembali untuk musim kedua dan bakal memulakan penggambarannya pada 15 Oktober ini.

"Renjis musim kedua ini tetap akan mengekalkan barisan pelakon yang sama dan berkemungkinan akan ada juga watak- watak baru yang akan diperkenalkan. Saya sebenarnya memang tidak sabar untuk kembali ke set penggambaran drama ini sebab kami semua pelakon memang rapat," tutur Sherry sambil tersenyum.

Dapat sokongan Ashraf

Untungnya mempunyai kekasih hati dari bidang yang sama. Meskipun ramai yang berpendapat cabaran yang perlu ditempuh cukup besar, tetapi jika dilihat dari aspek positif, kedua-duanya boleh saling bantu-membantu terutamanya perkara yang berkaitan dengan bidang seni.

Begitu juga yang dilalui oleh Sherry dan teman 'istimewanya', Ashraf Muslim. Meskipun masing-masing tidak gemar berbicara secara terbuka tentang hubungan mereka, tetapi umum sudah mampu meneka sejauh mana hubungan yang terjalin itu apatah lagi mereka sering dilihat seperti belangkas.

Apapun, akui pelakon kelahiran Petaling Jaya ini, dia cukup senang mendampingi Ashraf yang telah dikenalinya sejak dua tahun yang lalu dan disifatkannya cukup 'supportive' terhadap karier seni Sherry.

"Apa saja yang saya inginkan kepastian tentang lakonan, saya akan bertanya pada Ashraf. Lagipun dia seorang yang 'cepat' memahami tentang watak. Lihat saja pencapaian seninya yang begitu pantas naik," kata Sherry.

Meskipun begitu, ditanya perancangan lanjut hubungan mereka, Sherry sambil tersenyum lantas menjawab: "Saya tak mahu mengulas panjang tentang hal ini. Apa yang boleh saya katakan, saya memang rapat dengan dia. Tapi cukuplah saya katakan dia adalah seorang pendengar yang baik.

"Malah saya rapat dengan dia pun bukannya kerana popularitinya. Ketika saya kenal diri dia dua tahun yang lalu, saya memang langsung tidak perasan dia adalah seorang pelakon dan model.

"Sejauhmana hubungan kami akan berjalan, biarlah terserah kepada takdir-Nya. We just go with the flow," kata Sherry yang menambah turut mengambil kesempatan raya kali ini untuk berkunjung ke rumah keluarga Ashraf.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain