suria

Idham terkejut sambutan filem Senario di luar jangkaan

NAMPAKNYA pasukan produksi filem Senario The Movie Episod 1 kini boleh tersenyum lega apabila filem terbitan Metrowealth Movie Productions ini telah berjaya mengaut kutipan mencecah RM3.3 juta hanya selepas seminggu ia ditayangkan sejak Hari Raya pertama yang lalu.

Jumlah kutipan memberangsangkan itu bukan saja menggembirakan 'orang kuat' Metrowealth sendiri, David Teo yang sebelum ini meletakkan sasaran RM4 juta terhadap filem ini, malah pengarahnya Ahmad Idham turut melahirkan rasa terkejut dengan sambutan luar jangkaan yang diterima oleh filem yang menelan belanja kira-kira RM1.5 juta ini.

Pencapaian ini juga dilihat mampu mencatat sejarah tersendiri setelah filem arahan Idham tidak lama dulu yang juga diterbitkan oleh Metrowealth berjudul Jangan Pandang Belakang berjaya mengaut kutipan RM7.5 juta sekaligus menjadi filem tempatan terlaris di Malaysia setakat ini.

"Saya memang tidak jangka ia mampu raih kutipan sebanyak itu hanya dalam masa tujuh hari. Ia satu berita gembira untuk semua 'team' produksi ini. Sejak awal lagi sebenarnya saya mengambil risiko menghasilkan filem ini.

"Ramai yang tanya saya dulu mengapa saya sanggup mengarah filem ini kerana ada yang kata zaman kegemilangan kumpulan Senario sudah berakhir. Tetapi saya ambil itu semua sebagai cabaran dan hasilkan filem ini mengikut cara saya tersendiri," kata Idham ketika dihubungi.

Meskipun ramai yang beranggapan zaman kegemilangan kumpulan lawak itu sudah berakhir, namun, tanggapan tersebut tidak langsung mematahkan semangat Idham untuk meletakkan acuan tersendiri di dalam filem ketujuh kumpulan yang dianggotai oleh Mazlan, Azlee dan Wahid ini.

Malah, Idham sebelum ini juga pernah berkata, dia yakin percaturan David itu pasti tidak akan sia-sia apatah lagi setelah mengkaji sendiri rating siri sitkom Senario yang ditayangkan di TV3, ia masih menerima sambutan yang cukup memberangsangkan daripada penonton.

"Bagi saya, filem-filem Senario yang terdahulu arahan dua pengarah lain iaitu Aziz M.Osman dan Mamat Khalid serta filem Senario terbaru arahan saya ini tidak ada bezanya. Cuma kami mempunyai cara tersendiri untuk menggarap cerita tersebut.

"Ternyata, penonton masih sukakan Senario yang 'dulu'...Senario yang terkenal dengan sifat 'gila-gila' mereka. Itu yang saya tonjolkan dalam filem ini kerana saya tidak rasa penonton ingin melihat komedi Senario yang 'serius'.

"Sejak dulu lagi, kita semua sedia maklum lawak Senario macam mana...jadi saya tidak akan ubah 'style' mereka," jelas Idham lagi.

Senario The Movie Episod 1 memaparkan kisah hidup anggota Senario sebelum mereka menjadi pelawak.

Selain tiga anggota Senario iaitu Mazlan, Wahid dan Azlee, turut membuat kemunculan istimewa di dalam filem tersebut antara lain ialah Fauziah Nawi, Zul Huzaimi, Julia Hana, Shamsul Ghau Ghau, Eizlan Yusoff dan Zaibo.

Ditanya pendapatnya sendiri tentang jumlah kutipan yang mungkin akan terus meningkat dalam tempoh kira-kira lima minggu lagi, Idham dalam nada bersemangat menjawab:

"Jika 'trend' ini berterusan, tidak mustahil jika saya katakan jumlah kutipan filem ini mampu mengalahkan kutipan filem saya terdahulu, Jangan Pandang Belakang (JPB) kerana ketika JPB ditayangkan dulu, ia meraih hanya RM2.8 juta pada minggu pertama tayangannya.

"Apapun, saya sudah cukup bersemangat untuk meneruskan filem Senario yang seterusnya berjudul Jangan Pandang Belakang Congkak yang akan menampilkan genre komedi seram.

"Setakat ini, saya belum pasti lagi bila filem ini akan memulakan penggambaran kerana saya masih di dalam proses menyiapkan skripnya," kata Idham yang kini sedang sibuk membuat persiapan untuk teater muzikal arahan pertamanya, Impak Maksima The Musical yang akan dipentaskan di Istana Budaya bulan hadapan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain