SETELAH hampir tiga bulan menjelajah seluruh Malaysia, pencarian Gadis Melayu akhirnya berjaya menemui 10 finalisnya daripada kira-kira 1000 penyertaan yang diterima untuk menyertai program realiti baru terbitan saluran TV9 ini.Program yang bertujuan untuk mencari Gadis Melayu ideal yang masih mengamalkan adat Melayu walaupun berpewatakan moden dan berkarier tinggi ini menilai kriteria calon-calon berdasarkan kecantikan, kemahiran, personaliti dan keagamaan. Peserta-peserta yang layak sebagai finalis ialah NurAishah Zainal berasal dari Alor Gajah, Melaka), Ayunaliza Atan (Johor Bahru), Efi Norfiani Aris Setiawan (Cheras, Selangor), Noor Afzan Mohd Afzul Khan (Kota Kinabalu, Sabah), Wan Fariza Mustafa (Kuantan, Pahang) dan Wan Hafizah Wan Abdullah (Kota Bharu, Kelantan).Turut layak sebagai finalis Gadis Melayu yang bakal dihoskan oleh Fahrin Ahmad ini ialah penyanyi yang popular dengan irama tradisional, Zehra Zambri (Klang, Selangor), Siti Nurashikin Mohd Noor (Sg.Petani, Kedah), Khairul Noormaidah Zali (Kuantan, Pahang) dan Nurul Khusna Uma (Kuantan, Pahang).Menurut penerbit eksekutif program ini, Ezzah Aziz Fawzy, kesemua finalis tersebut menepati kriteria yang ditetapkan semasa sesi ujibakat diadakan tidak lama dulu."Ketika ujibakat dijalankan dulu, kita bukan saja mencari gadis Melayu tradisi, tetapi juga moden. Walaupun mereka moden, tetapi dalaman mereka masih mempunyai ciri-ciri gadis Melayu yang kita cari."Mereka kena tahu tentang budaya masyarakat Melayu dan at least, kenalah kenal rempah ratus masakan Melayu. Begitu juga dengan pemilihan Zehra Zambri sebagai finalis program ini. Kami merasakan dia layak kerana dia ada kriteria seorang gadis Melayu."Dia merupakan penyanyi yang memperjuangkan irama tradisional Melayu yang bukan semua orang mampu melakukannya. Pemilihannya bukan bertujuan untuk menaikkan rating, tetapi kita lihat dia mampu mewarnai lagi program Gadis Melayu ini."Apapun, saya akui, program ini memang cukup mencabar buat kami kerana ia bukan seperti program-program realiti lain yang lebih tertumpu kepada pencarian bakat, tetapi untuk program ini kami menilai peserta daripada pelbagai aspek," ujar Ezzah pada sidang media sempena majlis pengenalan barisan finalis Gadis Melayu di Villamay, Shah Alam, semalam.Program yang bakal bersiaran bermula 16 Oktober ini, setiap Khamis pada jam 9.30 malam ini akan menyaksikan pelbagai cabaran berbeza yang perlu dilalui oleh peserta setiap minggu seperti kecantikan, cara berkomunikasi, penampilan diri, asas sains rumahtangga, keperibadian, kebijaksanaan serta seni dan budaya.Setiap elemen yang dinilai amat penting untuk memastikan bakal pemenang kelak benar-benar layak setelah menyertai latihan serta menjalankan tugasan mingguan.Setiap peserta akan dinilai oleh tiga juri tetap dalam program ini iaitu Yang Mulia To' Puan Seri Diraja Noor Aini Datuk Abdullah, Datuk Paduka Prof. Emeritus Datuk Dr.Nik Safiah Karim yang merupakan pakar bahasa dan Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya serta Ustazah Siti Nor Bayah Mahmood, seorang penceramah agama dan motivasi.Peserta yang menerima markah terendah daripada juri pada setiap minggu akan tersingkir sebelum lima peserta akhir dipilih untuk ke peringkat akhir."Kita akan turut buka undian SMS oleh penonton pada dua episod terakhir iaitu episod 12 dan 13 kerana ketika itu kita akan siarkan program ini secara langsung. Undian SMS penonton berjumlah 50 peratus manakala selebihnya adalah daripada juri tetap," tambah Ezzah.Pemenang bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, pakej percutian, barang kemas Habib Jewels, barangan elektrik dan produk kecantikan.Dalam pada itu, Pengurus Besar Penjenamaan Kumpulan dan Komunikasi TV9, Farah Ezrin Mohd Rashidi berkata, kesemua finalis turut berpeluang untuk diserapkan sebagai pengacara stesen televisyen berkenaan."Itu semua bergantung kepada kesesuaian program dan masa finalis sendiri. Mereka akan mengikat kontrak dengan kita untuk tempoh tertentu dan dari situ kita akan cuba lihat apa yang kita boleh lakukan," tuturnya.KOMEN FINALIS:Zehra Zambri, penyanyi, 21:"Saya tidak pernah letakkan harapan yang tinggi ketika hadir pada sesi ujibakat dulu. Tetapi saya tertarik dengan program ini kerana ia berbeza dengan program realiti yang lain. Mungkin ciri Gadis Melayu yang ada pada saya ialah kerana saya memperjuangkan irama tradisional kita. Apapun, saya menganggap program ini nanti dapat menjadi satu platform untuk saya menceburi bidang penyiaran kelak."Wan Hafizah Wan Abdullah, penuntut UTM, 22:"Program ini cukup unik sebenarnya. Apapun pada pendapat saya, seorang gadis Melayu itu perlu mempunyai pengetahuan yang tinggi. Secara peribadi, saya merasakan saya mempunyai ciri-ciri seorang gadis Melayu yang mana saya sentiasa membataskan pergaulan dengan orang sekeliling. Walaupun saya akui saya juga mempunyai kekasih, tetapi batas-batas sebagai orang Melayu tetap saya patuhi. Insyaallah, jika ada peluang saya juga berharap program ini mampu membawa saya masuk ke dalam bidang penyiaran juga."Noor Afzan Mohd Afzul Khan, Penolong Perpustakaan, 27:"Saya sertai program ini sebenarnya secara tidak sengaja. Itupun kerana desakan kawan yang suruh saya hadiri ujibakat ini. Tak sangka pula saya merupakan satu-satunya finalis dari Malaysia Timur. Berdebar juga untuk bersaing dengan finalis-finalis lain apatah lagi saya adalah yang paling berusia di dalam program ini."Nur Aishah Zainal, penuntut UiTM, 23:"Saya sebelum ini pernah menyertai program Pencarian Gadis Jelita dan memang selepas itu saya tidak terfikir untuk sertai mana-mana program seperti ini lagi. Saya sebenarnya menemani rakan saya yang ingin sertai ujibakat program Gadis Melayu ini, tetapi ketika di sana dia turut mengajak saya untuk cuba. Setelah dihubungi oleh TV9 yang memaklumkan saya berjaya sebagai finalis, saya sebenarnya menolak untuk teruskan. Tetapi setelah dipujuk oleh mereka dan keluarga juga menyarankan saya mencuba, saya bersetuju. Sebab itu saya tidak letak harapan yang tinggi untuk menang asalkan saya dapat belajar banyak perkara baru."